Laporan/foto: Haniza Harun (Melaka)/FB MBMB
MELAKA TENGAH, 19 April (Malaysiaaktif) – Kerajaan Negeri melalui Unit Kerajaan Tempatan telah menganjurkan satu taklimat mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri Tahun 2021 bagi mengatasi isu ketidakpatuhan SOP di Bazar Ramadan yang tular di media sosial baru-baru ini.
Menurut, Pengerusi Jawatankuasa Negeri Perumahan Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Datuk Seri Abdul Ghafar Atan, pengoperasian bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri mengikut lokasi terpilih yang telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Melaka dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
“Namun beberapa syarat-syarat perlu dipatuhi oleh peniaga dan pengunjung sepanjang pembukaan bazar berkenaan.
“Bagi menyelesaikan isu ketidakpatuhan SOP tersebut, kerajaan negeri telah mengambil inisiatif dengan melaksanakan sistem penggiliran nombor bagi membantu menyelesaikan isu kesesakan dan penjarakkan fizikal pengunjung serta membantu para peniaga supaya tidak menerima nasib sama seperti di negeri Kelantan.
“Saya berharap agar penganjur dapat bersama-sama melaksanakan pendekatan ini dalam memastikan isu ketidakpatuhan SOP dapat dielakkan dan dapat bersama-sama membantu pihak kerajaan dalam memerangi pandemik COVID-19 ini,” katanya ketika menyampaikan taklimat tersebut di Dewan Taming Sari Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), di sini baru-baru ini.
Pada majlis sama semua PBT Negeri Melaka turut berkongsi tentang tahap Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan contoh amalan baik oleh penganjur dan seramai 51 penganjur telah turut serta di dalam taklimat ini.
Hadir sama, Datuk Bandar MBMB Datuk Zainal Abu serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya Datuk Shahdan Othman.
-FF