Laporan/foto: Marshita Othman/Muhammad Alif (Daerah Barat Daya)
BALIK PULAU, 19 April (Malaysiaaktif) – Program suntikan vaksin COVID-19 kepada petugas barisan hadapan bagi fasa kedua telah dilakukan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kompleks Sukan Daerah Barat Daya baru-baru ini.
Penolong Pegawai Perubatan Pusat kesihatan Daeeah Barat Daya Azmawi Hashim, berkata fasa pertama bagi petugas barisan hadapan sebelum ini telah dijalankan di Klinik Kesihatan yang telah ditetapkan.
“Proses suntikan kedua ini dijalankan dengan lancar dan disusun dengan baik termasuklah Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dijalankan sangat memuaskan.
“Sebelum suntikan vaksin diberikan, petugas barisan hadapan perlu menjalani beberapa proses iaitu proses pendaftaran serta penerimaan vaksin dengan teratur sebagai persiapan PPV di sini untuk dibuka kepada orang awam yang menerima suntikan vaksin,” katanya kepada selepas program suntikan vaksintersebut, di sini.
Menurut Azmawi, kapasiti di dalam PPV kompleks sukan ini boleh menempatkan sekitar 600 orang apabila ia dibuka kepada orang awam mulai 19 April 2021.
“Pihak Pusat Kesihatan Daerah Barat Daya akan sentiasa memantau SOP yang ditetapkan sebab PPV mempunyai kawasan yang luas.
“Semua proses perlu berjalan dengan teratur sekali di kawasan PPV yang luas ini bermula daripada proses pengambilan suhu, saringan kesihatan, proses pendaftaran dalam sistem MySejahtera dan temubual bersama Pegawai Perubatan sebelum kelulusan vaksin diberikan,” katanya.
Beliau berharap orang awam dapat menyelesaikan suntikan vaksin dos pertama dan kedua terutamanya bagi penduduk Daerah Barat Daya di sekitar sini.
“Semua pihak diminta agar memberi kerjasama sepenuhnya dengan mendapatkan vaksinasi COVID-19 itu menurut tatacara yang ditetapkan, demi memastikan program vaksinasi dapat berjalan lancar dan berkesan.
“Pusat suntikan satu PPV lagi pula akan dibuka iaitu di Pasar Awam Bayan Baru bagi daerah sini,” katanya.
-ii-