Skip to main content
Berita TimurTerengganu

600 Lesen Sampan Diluluskan

By 23 April 2021April 24th, 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Taufiq Firdaus Md.Nor (Besut)/Nurul Saidatul Aida Sidek (Terengganu)

BESUT, 23 April (Malaysiaaktif) – Setelah lebih 40 tahun menanti, akhirnya seramai 85 orang nelayan dari Besut dan Setiu menerima lesen sampan masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu Dr. Azman Ibrahim, berkata kerajaan Negeri Terengganu telah meluluskan 600 lesen secara serentak bagi fasa pertama sekaligus merekodkan angka yang paling banyak antara semua negeri di Semenanjung Malaysia.

Dr. Azman menyerahkan lesen sampan kepada seorang nelayan.

Dr. Azman (kiri) menyerahkan lesen sampan kepada seorang nelayan.

“Antara isu utama yang menimbulkan masalah kepada nelayan-nelayan di negeri kita ini ialah isu lesen, di mana mereka masih tidak mendapat lesen sampan walaupun telah membuat permohonan.

“Kedua, hasil laut tidak memuaskan bagi kawasan laut yang mencapai kedalaman lima batu nautika ke bawah dan ketiga ialah isu pencerobohan nelayan asing di zon tempatan mengancam nelayan-nelayan di sekitar ini,” katanya ketika menyerahkan lesen tersebut kepada nelayan tempatan di Kampung Beting Lintang, di sini semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr. Azman Ibrahim ketika berucap merasmikan program, semalam.

Dr. Azman Ibrahim ketika berucap merasmikan program, semalam.

Katanya lagi, tanpa lesen nelayan sampan, para nelayan yang telah lama menjadi nelayan tidak mendapat kelebihan dan keistimewaan antaranya elaun sara hidup nelayan, minyak subsidi, bantuan bencana nelayan dan lain-lain lagi.

“Oleh itu, kerajaan mengambil inisiatif ini bagi menjaga hak nelayan-nelayan di Negeri Terengganu dengan mengadakan majlis penyerahan lesen sampan nelayan serta merasmikan rumah mesin tarik bot untuk kemudahan para nelayan di sekitar kawasan itu.

“Selain itu, dengan kerjasama daripada kerajaan Negeri Terengganu, Jabatan Perikanan Terengganu, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Persatuan-Persatuan Nelayan Kawasan menyebabkan pemberian lesen yang telah dibekukan setelah sekian lama dibuka kembali untuk Negeri Terengganu dan menjadi perintis kepada pembukaan semula lesen nelayan sampan ini,” katanya.

Dr. Azman Ibrahim menggunakan mesin penarik bot selepas merasmikan rumah mesin tarik bot di Kampung Beting Lintang, Besut.

Dr. Azman Ibrahim menggunakan mesin penarik bot selepas merasmikan rumah mesin tarik bot di Kampung Beting Lintang, Besut.

Katanya lagi, permintaan nelayan untuk membuat pemecah ombak bagi menggantikan rumah mesin tarik bot sedang diusahakan.

“Tukun sebesar 15 tan sebongkah masih dalam proses pemasangan bukan setakat untuk dijadikan sebagai rumah ikan tapi dalam masa yang sama boleh dijadikan untuk zon pukat tunda,” katanya.

Menurut Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, berkata kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1.2 Juta untuk Program Memperkayakan Sumber Perikanan pada tahun ini.

Dr. Azman (tengah) berbual dengan nelayan yang menerima lesen sampan di Kampung Beting Lintang, Besut.

Dr. Azman (tengah) berbual dengan nelayan yang menerima lesen sampan di Kampung Beting Lintang, Besut.

“Kerajaan persekutuan memperuntukkan sebanyak RM300,000 untuk projek ini manakala kerajaan negeri akan menyediakan kit pemancing dan pemerum gema kepada nelayan pancing,” tambah Azman.

Wakil penerima lesen sampan daripada Besut, Mohd Rusdi Husin, 39, berkata penganjuran program sebegini adalah sangat baik dan dia sangat bersyukur kerana kerajaan telah meluluskan permohonan mereka setelah sekian lama memohon untuk mendapatkan lesen tersebut.

Sementara itu, wakil penerima lesen sampan daripada Setiu, Azman Awang Chik, 50, berkata dia juga bersetuju dengan pendapat Mohd Rusdi kerana dengan adanya lesen sampan nelayan, mereka mendapat hak dan keistimewaan seperti Elaun Sara Hidup Nelayan.

Mereka berharap agar kerajaan dapat memperluaskan lagi program ini kepada daerah-daerah lain di negeri ini supaya mereka juga mendapat hak sama rata sebagai nelayan.

-ii-

Tinggalkan komen anda