Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 1 April (Malaysiaaktif) – Radio Televisyen Malaysia (RTM) terus unggul dan telah pun 75 tahun bertindak sebagai peneraju utama menyiarkan informasi tepat dan sahih kepada masyarakat.
Menurut Ahli Dewan Negara Senator Datuk Bashir Alias, RTM menjadi penghubung antara kerajaan dan rakyat menerusi enam saluran TV dan 34 buah stesen radio.
“RTM adalah stesen penyiaran awam yang mengendalikan beberapa saluran radio dan saluran televisyen dan siaran radio RTM telah mula bersiaran pada 1 April 1946, manakala siaran televisyen pula mula diperkenalkan pada 28 Disember 1963,” katanya semasa Majlis Sambutan Ulang Tahun RTM ke-75 Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan di perkarangan Kompleks Komunikasi dan Multimedia Malaysia Labuan, di sini pagi tadi.
Penganjuran sambutan itu juga katanya sebagai tanda pengiktirafan dan penghargaan kepada petugas RTM khususnya Labuanfm.
“Labuanfm sebagai pemain dalam industri penyiaran Malaysia bagi sama-sama meraikan petugas barisan hadapan yang terdiri daripada penyampai radio, pembaca berita, pengacara dan lain-lain lagi serta mereka yang bertugas di belakang tabir yang terdiri daripada wartawan, jurukamera, juruaudio, penyunting visual, pereka grafik dan lain-lain lagi.
“Labuanfmbuat pertama kalinya juga akan menerbitkan rancangan Forum Perdana Ehwal Islam Khas yang akan bersiaran selama 75 minit dan turut akan mencatat sejarah dalam Malaysia Book of Record (MBOR).
“Ini menunjukkan komitmen jitu Labuanfm untuk sama-sama berkolaborasi mencipta rekod ini sebagai hadiah yang paling bermakna bersempena sambutan ulang tahunnya,” jelasnya lagi.
Sementara itu, Pengarah Penyiaran Labuan Aminah Samsudin Mohd, berkata sambutan Hari RTM di Labuan bermula sejak 27 Mac 2021 dengan program RTM Cakna Komuniti, Sinergi Labuanfm Hipicking di Geotapak Tanjung Batu, dan beberapa siri cakna lagi bakal dilaksanakan hingga Ogos nanti.
“Satu lagi program yang akan diadakan pada malam ini iaitu Forum Perdana Ehwal Islam juga bakal dicatat dalam MBOR kerana 15 lokasi akan menyiarkannya secara langsung selama 75 minit mulai pukul 9.00 malam, lima panel di setiap lokasi serta boleh disaksikan di TV1 dan FBlive Labuanfm selain didengar menerusi siaran radio tersebut.
“Teknologi dan penyiaran adalah sesuatu yang dinamik dan tidak dapat dipisahkan, teknologi juga mampu membawa Labuanfm merentas sempadan ke seluruh dunia dengan hanya tekan aplikasi RTMKlik di telefon pintar anda,” tambahnya.
-RI