Laporan/foto: Aneta Ahmad/Alizan Sulong (Dungun)
DUNGUN, 7 April (Malaysiaaktif)– Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid, mengucapkan tahniah dan syabas kepada Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JaPen) kerana van iM@JaPen telah singgah membantu peserta program Malaysia Prihatin membuat pendaftaran vaksinasi COVID-19.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Program Malaysia Prihatin Peringkat Daerah Dungun di Dewan Utama Majlis Perbandaran Dungun, di sini kelmarin.
“Kalau dahulu JaPen terkenal dengan wayang pacak namun sekarang dengan adanya van ini dapat memberi kemudahan dan memberi penerangan kepada masyarakat untuk membuat pendaftaran vaksinasi COVID-19.
“Ini merupakan satu inisiatif yang perlu disokong dan usahakan dalam menghasilkan sesuatu yang terbaik bukan sahaja untuk JaPen tetapi untuk masyarakat di Negeri Terengganu,” katanya.
Menurut Ketua Unit Sokongan Teknikal Ibu Pejabat Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen), Tengku Abd. Halim Tengku Ayob, pada program ini terdapat dua van iM@JaPen dari ibu pejabat untuk membantu program Jelajah Malaysia Prihatin.
“Kenderaan ini adalah kenderaan khas yang berfungsi sebagai pusat sehenti bagi kakitangan Jabatan Penerangan,” katanya.
Tambah beliau, skop operasi penyediaan kenderaan khas berkenaan meliputi kemudahan ruang kerja petugas, akses internet, alat siar raya dan skrin serta sokongan alatan informasi untuk kemudahan petugas Jabatan Penerangan dan media.
“Ini secara langsung sebagai Pusat Media Bergerak yang meliputi Pusat Media Bencana, Pusat Media Pilihan Raya Kecil (PRK), Pusat Media Acara Rasmi Kerajaan, Pusat Media Latih Amal,” katanya.
Di samping itu, katanya, van iM@JaPen berperanan sebagai Pusat Hebahan Bergerak bagi program di lapangan seperti Info on Wheels (IoW) dan perucapan awam menggunakan alat siaraya dan visual.
“Van ini juga sebagai Pusat Pengedaran Bahan Penerbitan yang meliputi pameran bergerak, paparan infografik dan edaran bahan-bahan penerbitan dasar negara,” katanya lagi.
Semasa lawatan ke Van iM@JaPen, Rosol Wahid juga mengambil peluang membuat hebahan berkaitan vaksin COVID-19.
-ii-