Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Warga PL Perlu Laksana Tadbir Urus Yang Baik Secara Konsisten

By 11 April 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 11 April (Malaysiaaktif) – Usaha-usaha mempromosi nilai-nilai ketelusan, integriti dan tadbir urus yang baik perlulah dilaksanakan secara konsisten oleh seluruh warga Perbadanan Labuan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan (PL) Dr. Fary Akmal Osman, selain tidak membenarkan sebarang perbuatan rasuah dalam apa jua bentuk, setiap warga PL juga perlu memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap peraturan-peraturan yang berkuatkuasa demi mewujudkan persekitaran budaya kerja positif dan kondusif.

“Saya melihat kepada integriti bagi penjawat awam bila mana seseorang menjawat apa-apa sahaja jawatan yang diamanahkan dalam perkhidmatan kerajaan, penjawat awam terbabit perlu bertindak secara jujur dan amanah mengikut bidang kuasa dan tugasnya, telus, tiada konflik peribadi, berwibawa, akauntabiliti serta patuh kepada segala peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.

Sesi Tandatangan Ikrar Bebas Rasuah oleh para pegawai PL.

Sesi Tandatangan Ikrar Bebas Rasuah oleh para pegawai PL.

“Tidak ada maknanya jika kita memperoleh banyak kejayaan sepanjang tempoh perkhidmatan, sedangkan elemen-elemen integriti tidak digarapkan bersama untuk mencapai kejayaan tersebut.

“Justeru, baik di PL atau di mana-mana sahaja, integriti sewajibnya menjadi pegangan kukuh dan mesti diamalkan oleh setiap individu daripada kita,” katanya pada Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah di Desa Tunas Hijau, di sini hari ini.

Tambahnya, penekanan terhadap integriti tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menjadikan warga PL lebih bertanggungjawab dan responsif terhadap kewajiban untuk membudayakan amalan integriti.

Fary (kanan) dan Rithuan (tengah) menyempurnakan lukisan capan berkonsepkan pokok Integriti Kreatif sambil disaksikan Mohd Yusizzudin (kiri).

Fary (kanan) dan Rithuan (tengah) menyempurnakan lukisan capan berkonsepkan pokok Integriti Kreatif sambil disaksikan Mohd Yusizzudin (kiri).

“Adalah menjadi harapan saya agar setiap warga kerja bekerja secara berpasukan, berintegriti, profesional, setia, mempunyai daya juang yang tinggi dan bertekad menjadikan organisasi ini dinamik serta kompeten,” jelasnya.

Pada program itu,turut diadakan pertandingan Lukisan Capan berkonsepkan pokok Integriti Kreatif yang bertemakan Integriti, Kualiti, Efisien dan Akauntabiliti (IKEA).

Objektif pertandingan itu juga sebagai simbolik yang merefleksikan iltizam warga PL dalam menunjukkan integriti dan etika yang tinggi dalam menggalas amanah yang diberikan.

Hadir sama Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Labuan Mohd Yusizzudin Mohd Yusof dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) PL Rithuan Mohd Ismail.

Antara warga PL yang turut melafazkan Ikrar Bebas Rasuah

Antara warga PL yang turut melafazkan Ikrar Bebas Rasuah

-RI

Tinggalkan komen anda