Laporan/foto: Mohamad Fikri Johari (Larut Matang dan Selama)/KDN
IJOK, 11 April (Malaysiaaktif) – Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Perak melancarkan Buku Pelan AntiRasuah 2020-2024 sempena perasmian Program Malaysia Prihatin bersama RELA bagi mencegah amalan rasuah dalam jabatan itu.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata kerajaan hari ini akan bertindak tegas dalam memerangi rasuah terutama kepada mereka yang menerima rasuah tanpa memikirkan masa hadapan.
“Saya menyeru agar rakyat Malaysia terutama yang berada di dalam dewan pada hari ini untuk sama-sama berganding bahu membanteras gejala rasuah daripada terus berlarutan,” katanya ketika merasmikan program tersebut di Dewan Semai Bakti, Felda Ijok, di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu menurut Hamzah, kerajaan sudah menyediakan pelbagai jenis bantuan kepada golongan yang terjejas pendapatan akibat pandemik COVID-19 kepada semua lapisan masyarakat umum dan Program Subsidi Upah kepada pekerja-pekerja yang telah diberhentikan kerja akibat wabak tersebut.
“Manfaatkanlah segala bantuan yang diberikan oleh kerajaan ini dengan sebaiknya kerana sedikit sebanyak ia dapat membantu terutama golongan yang bekerja sendiri.
“Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin, pernah berkata dalam ucapannya sebelum ini iaitu tidak akan ada sesiapa pun terkecuali dalam menerima bantuan-bantuan yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan dalam membantu rakyat memulihkan hasil ekonomi mereka.
“Pengurusan ekonomi negara telah dilakukan dengan sehabis baik oleh kerajaan masa ini dan segala peruntukan sedia ada mampu membantu ekonomi negara serta menyediakan keperluan rakyat yang sedang mengalami kesusahan,” katanya.
~RJ~