
Laporan/foto: Zuraidah Ahmad/Jeffren Malaning (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 11 Mei (Malaysiaaktif) – Lapan ahli Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) termasuk dua yang tersenarai sebagai orang paling dikehendaki oleh Kerajaan Filipina ditahan polis.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali, berkata operasi khas pada pukul 3 pagi Sabtu lalu, berjaya menahan 37 individu hasil perkongsian maklumat di antara polis, pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) serta pasukan keselamatan Filipina.
“Mereka terdiri daripada lapan lelaki, lapan wanita serta 21 orang kanak-kanak warga Filipina yang tinggal di kawasan paya bakau, berhampiran Taman Sri Arjuna, dekat Beaufort.
“Kita telah membuat semakan terhadap kesemua tangkapan ini dan mengesahkan lapan lelaki dewasa ini merupakan ahli ASG dan dua orang daripadanya adalah orang paling dikehendaki oleh Kerajaan Filipina,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini semalam.
Menurut Hazani, dua orang paling dikehendaki ini pernah terlibat dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan marin Filipina di Bud Bawis Complex, Panamaq Sulu pada tahun 2011, 2018, 2019 dan terbaharu pada November 2020.
“Selain itu, mereka juga terlibat dalam beberapa kes penculikan warga asing di Filipina dan kita percaya mereka mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas pertubuhan pengganas Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS).
“Semua tangkapan direman selama tujuh hari bermula 9 hingga 12 Mei di bawah Akta Pertubuhan 1966 untuk siasatan lanjut dan mendapatkan lebih banyak maklumat risikan,” katanya.
Dalam sidang media tersebut, Hazani turut memberi amaran kepada ketua-ketua kampung atau syarikat pembinaan yang didapati terlibat dan melindungi pendatang tanpa izin (PATI) akan berdepan tindakan di bawah Seksyen 55B dan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen serta Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Dalam pada itu, Hazani turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) khususnya semasa sambutan aidilfitri, Khamis ini.
“Tiada lagi amaran diberikan oleh pihak polis, sebaliknya kompaun akan dikeluarkan serta-merta terhadap mana-mana individu yang melanggar SOP tersebut.
“Pasukan pemantauan akan digerakkan di seluruh Sabah untuk memantau di kampung-kampung, taman-taman perumahan dan tempat tumpuan termasuk kawasan tanah perkuburan.
“Seramai 355 pasukan pematuhan Op COVID-19 dengan kekuatan 2,103 pegawai dan anggota akan digerakkan untuk memastikan rakyat di negeri ini mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah,” katanya.
-RI