
Laporan/foto: Fauziah Abdullah (Seremban)/Mohd Kharul Nizam Yunus (Japen NS)
SEREMBAN, 11 Mei (Malaysiaaktif) – Majlis Khatam Quran dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetap diraikan penuh meriah apabila mendapat kerjasama daripada semua pihak terutamanya penduduk setempat.
Majlis tersebut merupakan salah satu pengisian dalam Program Sepakat@Komuniti Daerah Seremban selain aktiviti memasak bubur lambuk, majlis berbuka puasa, solat berjemaah dan terawih yang diadakan pada Ahad lalu.
Pengerusi Penduduk Taman Arowana Impian Che Kamal Che Senik, berkata majlis Khatam Quran ini merupakan acara tahunan di taman ini dan tetap diadakan setiap tahun pada bulan Ramadan tetapi dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
“Walaupun diadakan dalam suasana PKP yang patuh kepada amalan norma baharu tetapi kali ini sambutan lebih meriah dengan pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh Pejabat Penerangan Daerah Seremban di mana penyertaan daripada penduduk adalah sangat menggalakkan,” katanya ketika ditemui di taman perumahan tersebut, di sini kelmarin.
Menurut Che Kamal program seumpama ini turut menyuntik semangat kerjasama dan kekitaan dalam kalangan peserta apabila pelbagai persiapan dilakukan bersama-sama secara gotong royong.
Seramai 30 orang peserta dewasa dan 11 kanak-kanak telah menyertai Khatam Quran kali ini dan menambahkan keseronokan apabila anak-anak yang datang turut menerima sumbangan duit raya daripada pelbagai pihak selain sumbangan khas kepada anak-anak yatim.
-FF