
Laporan/foto: Zuraidah Ahmad/Johny George Kimlon (Kota Kinabalu)
KENINGAU, 2 Mei (Malaysiaaktif) – “Terima kasih banyak kepada Toh Puan dan Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah, makcik dan keluarga sangat bersyukur”.
Demikian ucapan balu kepada Allahyarham Sarjan Amparang Amran Ansan, Rauneh@ Rosma Abdullah, 67, dari Kampung Ansit ketika menerima sumbangan bakul makanan dan duit raya daripada Yayasan Nur Jauhar (YNJ).
Reda dengan pemergian suami tercinta kira-kira 11 tahun lalu, dia berbangga dengan jasa yang ditabur Allahyarham suami dalam pasukan tempur infantri Tentera Darat Malaysia.
“Arwah suami dulu bekerja di Batalion Ke-2 Rejimen Renjer Diraja yang berpengkalan di Kem Oya Sibu, Sarawak.
“Selepas 13 tahun, arwah membuat keputusan untuk kami sekeluarga balik ke kampung halaman arwah di Kampung Ansit dan membuat kerja kebajikan secara sukarela di kampung,” ujarnya.
Ditanya mengenai penyakit yang dihidapi dan anak yang mengikut jejak Allahyarham suami, warga emas itu menyatakan dengan tenang dia serta keluarga redha dan akan memahat nama Sarjan Amparang di dalam hati sebagai perwira negara.
“Arwah suami makcik meninggal selepas 10 tahun menghidap angin ahmar, ketika itu umurnya masuk 78 tahun dan meninggal pada 16 September 2020.
“Daripada lima beradik, anak yang keempat, Normi Izuani Amparang sahaja yang menyertai pasukan keselamatan lebih 10 tahun dalam Askar Wataniah (AW),” dedah Rauneh.
Tambahnya, Normi yang lebih mesra dengan panggilan Intan meletak jawatan dari pasukan AW selepas berkahwin.
Rakan skuad Allahyarham Amparang, Sarjan Mohd Ghazali@ Wallis Ladi, 79, dari Kampung Sondoton pula ketika menceritakan pengalaman dan menerima sumbangan kelihatan sangat bertenaga dan bersemangat.
“Syukur dan terima kasih kepada TYT Tun dan Toh Puan, sumbangan ini dapat mengurangkan beban kami terutama semasa COVID-19.
“Skuad pakcik adalah anak Sabah yang pertama dalam unit komando di Kem Sungai Udang Melaka.
“Nama saja komando, tetapi pakcik cuma kerani gaji (Kor Gaji) di dalam unit itu,” katanya berseloroh.
Menyambung kisahnya, warga emas yang pernah menjalani latihan di Kem Rejimen 21 Komando Sungai Udang, Melaka itu memaklumkan, dia sempat dihantar berkursus asas dan lanjutan terjun payung di Australia sebelum mengakhiri tempoh perkhidmatannya.
“Sebenarnya perkhidmatan pakcik 13 tahun tetapi di hujung perkhidmatan, pegawai atasan telah menghantar saya berkursus di luar negara oleh Kementerian Pertahanan selama dua tahun, jadi keseluruhannya dalam 14 tahun.
“Kursus asas payung terjun itu diadakan di Australia, kemudian balik ke Malaysia sekejap dan meneruskan kursus lanjutan juga di Austaralia,” jelas Mohd Ghazali yang turut menyumbang bakti sebagai Penguatkuasa Majlis Daerah Keningau dan Pegawai Tadbir Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejak tahun 1984.
Kedua-duanya adalah antara 15 ahli Persatuan Veteran ATM yang menerima sumbangan daripada yayasan yang dinaungi Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.
Sumbangan berupa bakul makanan serta duit raya itu disampaikan oleh isteri Yang Dipertua Negeri Toh Puan Norlidah R.M Jasni, diiringi Pegawai Daerah Walter Kenson serta Timbalan Setiausaha Sulit TYT Sabah Ag Damit Pg Apong di sini, pada Jumaat.

KENANGAN…Toh Puan Norlidah (tengah, depan) merakam gambar kenangan bersama Walter (dua dari kanan, depan) serta para penerima sumbangan YNJ.
-RI