
Laporan/foto: Bustan Made Aming/Mohd Nasri Tapisil (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 2 Mei (Malaysiaaktif) – Kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Sabah menyebarluaskan kepentingan Portal MyFuture Jobs.
Menurut Pegawai Tadbir Sistem Insuran Pekerjaan PERKESO Ainah Awang, MyFuture Jobs merupakan platform baharu bawah kendalian PERKESO.
“MyFuture Jobs merupakan satu platform yang dilaksanakan oleh PERKESO di bawah bahagian Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).
“Ia adalah portal yang disediakan untuk membantu masyarakat yang belum bekerja mendapatkan pekerjaan berdasarkan padanan kerja dan kemahiran.
“Selain itu, portal ini juga akan memudahkan pencari kerja mengetahui lokasi dan bilangan kekosongan kerja sesuatu tempat kerana semua data tersebut dipaparkan pada portal MyFuture Jobs,” katanya ketika ditemui media di Wisma Dang Bandsang, di sini kelmarin.
Dalam pada itu, Ainah juga berharap agar kerjasama yang dicapai akan berterusan, menyedari kepentingan MyFuture Jobs untuk diuar-uarkan kepada masyarakat luar bandar.
“Saya berharap kerjasama ini berterusan memandangkan JaPen mempunyai program yang efektif untuk menyebarkan maklumat sehingga ke daerah-daerah.
“Program seperti Influencer dan Info on Wheels (IoW) juga sangat sesuai dijadikan medium penyebaran portal ini kepada masyarakat di pedalaman yang mencari pekerjaan,” katanya.
Hadir sama, Pengarah Penerangan Sabah Nadzerah Abdullah, Pegawai Bahagian Majikan Puspakom, Mashtan Maspor, Pegawai Eksekutif Talent Puspakom, Awang Mohd Fadzlan dan Pegawai Bahagian Latihan Puspakom, Joewel David.
-RI