
PUTRAJAYA, 3 Jun (Malaysiaaktif) – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersetuju melanjutkan tempoh kelonggaran syarat yang diberikan kepada syarikat pengendali pelancongan yang dilesenkan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).
MOTAC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan perlanjutan dari 1 Julai hingga 31 Dis itu adalah berkaitan kelonggaran dari segi keluasan premis bagi syarikat pengendali pelancongan yang telah berlesen dan kebenaran untuk menjalankan perniagaan lain dalam premis syarikat pengendali pelancongan.
Kelonggaran dari segi keluasan premis dan kebenaran untuk menjalankan perniagaan lain dalam premis syarikat pengendali pelancongan, sebelum ini diberikan dari 1 Jan hingga 30 Jun ini.
Menurut MOTAC, kelonggaran berkaitan penyewaan premis perniagaan secara co-share office space diberikan sehingga 30 Dis ini.
Kenyataan itu menyebut bahawa kelonggaran itu dijangka memberi manfaat kepada seramai 6,945 pengusaha pelancongan yang berlesen yang menjalankan perniagaan agensi pengembaraan.
“Kementerian berharap kelonggaran syarat bagi syarikat pengendali pelancongan yang dilesenkan di bawah Akta 482 dapat membantu meringankan beban dan masalah yang dihadapi oleh syarikat pengusaha pelancongan yang terkesan dengan penularan wabak COVID-19,” kata MOTAC.
— BERNAMA