
Laporan/foto: Ow Yeang Khang Ting (Johor)
JOHOR BAHRU, 30 Jun (Malaysiaaktif) – Sepanjang tempoh pandemik COVID-19 yang melanda negara, pelbagai isu spiritual yang didengari sama ada melibatkan para pesakit COVID-19, waris ataupun petugas barisan hadapan.
Menurut Ketua Unit Spiritual dan Kesihatan Hospital Sungai Buloh Dr. Ahmad Fahmi Md Sahray, penjagaan rohaniah sepanjang pandemik ini merupakan salah satu perkara yang amat penting agar mereka kekal bersemangat dari segi fizikal dan mental untuk terus melawan wabak ini.
“Saya pernah berhadapan dengan situasi yang mana seorang suami yang mengalami kesedihan setelah kehilangan isterinya akibat jangkitan COVID-19.
“Namun beliau kelihatan lebih tenang selepas menghadiri sesi spiritual yang telah disediakan oleh pihak kami,” katanya ketika menyampaikan ceramah kepada para petugas barisan hadapan di Bilik Gerakan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Olive Kempas, di sini semalam.
Tambah beliau, para petugas kesihatan juga perlu sentiasa peka terhadap keperluan penjagaan jiwa pesakit dan waris agar mereka tidak mengabaikan kesihatan meskipun emosi sedikit terganggu, penjagaan jasmani dan rohani perlu dititikberatkan dalam mendepani fasa kritikal ini.

Ketua Penolong Setiausaha Unit Hal Ehwal Islam Kementerian Kesihatan Malaysia Mohd Isa Abdullah yang turut terlibat dalam sesi konsultasi berkumpulan untuk program ini.
“Kebanyakan waris pesakit COVID-19 mengalami kesukaran menerima kenyataan pemergian ahli keluarga tersayang akibat wabak ini terutamanya tidak dapat berjumpa untuk kali terakhir.
“Di sini para petugas kesihatan perlu memainkan peranan dengan memberi semangat dan sokongan moral kepada waris yang sedang dalam kesedihan agar mereka lebih tenang dan memudahkan urusan pengurusan jenazah,” ujarnya.
Fahmi berkata skop perkhidmatan pasukan Unit Spiritual dan Kesihatan Hospital Sungai Buloh bukan sahaja hanya tertumpu untuk para pesakit dan waris tetapi juga merangkumi para petugas kesihatan.
“Pihak kami turut menyediakan khidmat spiritual untuk para petugas kesihatan yang mengalami kelesuan serta tekanan yang tinggi akibat wabak COVID-19 ini,” ujarnya.
Program yang berlangsung selama dua hari ini diadakan bertujuan untuk menimbulkan kesedaran kepada petugas PKRC tentang kepentingan penjagaan jiwa pesakit dan waris terutamanya dalam mendepani pandemik COVID-19.
-NI-