Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Petugas Hadapan Harap Pandemik COVID-19 Segera Berakhir

By 30 Jun 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

SELAYANG, 30 Jun (Malaysiaaktif) – Petugas barisan hadapan sangat berharap agar pandemik COVID-19 yang melanda negara ketika ini akan segera berakhir.

Ketua Jabatan Anaestologi dan Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang Dr Haslinda Abd Hashim, berkata pihaknya dan petugas barisan hadapan akan sedaya upaya menyelamatkan pesakit.

“Hospital Selayang bukan hospital rawatan COVID-19 sepenuhnya kerana kami juga merawat pesakit bukan COVID-19.

“Sebanyak 33 buah katil untuk pesakit COVID-19 dalam ICU sentiasa penuh dan bertukar ganti, masalahnya pesakit COVID-19 memerlukan mesin ventilator dalam tempoh yang lama.

“Kekangan untuk mendapatkan katil di ICU memang tinggi kerana kami juga perlu merawat pesakit yang tidak dijangkiti COVID-19,” katanya.

Timbalan Pengarah Hospital Selayang, Dr Tengku Intan Norleen melihat salah satu mesin ventilator yang disumbangkan Pertubuhan Komuniti ELITE untuk kegunaan Hospital Selayang.

Timbalan Pengarah Hospital Selayang, Dr Tengku Intan Norleen melihat salah satu mesin ventilator yang disumbangkan Pertubuhan Komuniti ELITE untuk kegunaan Hospital Selayang.

Menurutnya, berdasarkan laporan kes positif harian COVID-19, kemungkinan besar mesin ventilator tidak cukup untuk merawat pesakit.

“Tetapi buat masa ini Hospital Selayang masih mampu bertahan dan sumbangan mesin ventilator pada hari ini sangat membantu kami.

“Kami berharap pandemik ini segera berakhir dan barisan petugas barisan hadapan akan sedaya upaya menyelamatkan pesakit.

“Terima kasih kepada semua pihak yang membantu kerana sekurang-kurangnya ia memberi motivasi untuk bekerja lebih keras lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan tujuh mesin ventilator oleh Penasihat Pertubuhan Komuniti ELITE Datuk Eric Chia kepada Timbalan Pengarah Hospital Selayang Dr Tengku Intan Norleen Tengku Sharif.

Ketua Jabatan Anaestologi dan Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang, Dr Haslinda Abd Hashim ketika ditemui media.

Ketua Jabatan Anaestologi dan Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang Dr Haslinda Abd Hashim ketika ditemui media.

Pertubuhan Komuniti ELITE menyumbang lima unit ICU Turbine Ventilator Elisa 500 dan dua unit ICU Ventilator Elisa 600 untuk kegunaan Hospital Selayang.

Sementara itu, Penasihat Pertubuhan Komuniti ELITE Datuk Eric Chia, berkata pihaknya dimaklumkan Hospital Selayang amat memerlukan mesin ventilator untuk merawat pesakit ketika ini.

“Pihak kami bersetuju untuk menyumbang sebanyak tujuh unit mesin ventilator bernilai RM750,000 agar dapat menyelamatkan sebanyak mungkin nyawa pesakit COVID-19.

Penasihat Pertubuhan Komuniti ELITE, Datuk Eric Chia.

Penasihat Pertubuhan Komuniti ELITE, Datuk Eric Chia.

“Ini merupakan sumbangan mesin ventilator yang pertama kali daripada pihak kami untuk kegunaan hospital.

“Sebelum ini pertubuhan kami menyumbang dalam bentuk pelitup muka dan lain-lain sumbangan untuk orang ramai,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda