Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Southern Volunteers Rancakkan Program Pendaftaran Vaksin Daerah Kluang

By 24 Jun 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Zuriatina Tamat (Kluang)

KLUANG, 24 Jun (Malaysiaaktif) – Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menitahkan Southern Volunteers (SV) digerakkan bagi membantu program-program vaksinasi melibatkan setiap daerah yang menempatkan pusat vaksinasi.

SV Daerah Kluang menyambut baik seruan Tunku Mahkota Johor dan telah memulakan program pendaftaran dari rumah ke rumah penduduk di sekitar daerah ini dengan kerjasama pelbagai pihak yang berkaitan.

Menurut Pegawai Daerah Kluang Jamaludin A. Hamid, dengan bantuan yang dihulurkan SV Daerah Kluang, data terkini menunjukkan terdapat peningkatan jumlah pendaftaran yang memberangsangkan di kalangan para penduduk di daerah ini.

“Walaupun pendaftaran vaksin di daerah ini adalah yang terendah di Johor, namun ianya telah mencapai sasaran 60 peratus.

Jamaludin melihat sesi pendaftaran yang dikendalikan oleh ahli SV di Flat Haji Manan.

Jamaludin melihat sesi pendaftaran yang dikendalikan oleh ahli SV di Flat Haji Manan.

“Kita menyasarkan jumlah pendaftaran vaksin 1,000 orang setiap hari namun ia melebihi jumlah yang disasarkan disebabkan oleh gerak kerja yang dibuat lebih bersepadu, kemas dan tersusun,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Gerak Kerja Pendaftaran Vaksin di Majlis Perbandaran Kluang (MPK) dan Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR), di sini semalam.

Tambah beliau, Jawatankuasa Bencana Daerah juga akan melaksanakan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bergerak dengan menggunakan bas atau pacuan empat roda mengikut kesesuaian tempat bermula Julai ini.

“Kita mempunyai dua PPV tetap iaitu di Dewan Jubli yang operasinya akan bertukar ke Dewan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bermula 26 Jun ini dan Dewan Orang Ramai MDSR.

“Oleh itu, melalui Jawatankuasa Bencana Daerah kita akan menyediakan PPV bergerak bagi memudahkan warga emas dan para penerima vaksin yang tinggal jauh dari PPV untuk mendapatkan suntikan vaksin,” ujarnya.

Jamaludin juga berharap akan menerima bekalan vaksin dalam masa terdekat bagi memastikan para penduduk yang telah berdaftar akan menerima suntikan vaksin yang secara tidak langsung menjadi tarikan untuk lebih ramai penduduk di daerah ini tampil mendaftarkan diri.

“Saya amat berterima kasih kepada kerajaan negeri yang memberikan elaun kepada SV sebagai suntikan semangat untuk mereka terus berganding bahu melancarkan proses pendaftaran vaksinasi di daerah ini,” ujarnya.

-NI-

Tinggalkan komen anda