Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Terengganu Lancar BERKAT 3.0

By 4 Jun 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto : Rusmiza Anuar (Kuala Terengganu)/Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI)
KUALA TERENGGANU, 4 Jun (Malaysiaaktif) – Merasakan penguatkuasaan ‘total lockdown’ yang mungkin berlanjutan, Kerajaan Negeri Terengganu melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) telah memutuskan untuk melancarkan program Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu 3.0 (BERKAT 3.0) secara bersasar berjumlah RM200,000 bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan jumlah keseluruhan RM6,400,000 yang akan diagihkan secara dua fasa.
Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam kenyataan berkaitan ‘Total Lockdown’ : Terengganu Lancar BERKAT 3.0, Kerajaan Negeri Terengganu bersetuju memberi penangguhan atas sewaan premis perniagaan milik Kerajaan Negeri, Badan Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk bulan Jun dan Julai 2021.
Namun, demikian ianya tertakluk kepada premis perniagaan yang terkesan akibat penutupan ekonomi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0, dan premis-premis dengan kadar sewa tidak melebihi kadar sewaan RM5,000 sebulan kecuali sewaan tapak menara telekomunikasi.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar Umum BERKAT 3.0.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar Umum BERKAT 3.0.

Manakala bagi Peminjam Yayasan Terengganu yang berpendapatan bawah RM2,500 juga diberi pilihan untuk memohon moratorium selama 3 bulan dan sebagai tambahan, sebulan gaji Menteri Besar dan Exco Kerajaan Negeri akan dipotong dan dimasukkan ke dalam Tabung COVID-19 Terengganu.

Penjawat awam juga turut bersama menyumbang melalui potongan elaun mereka.
Menurutnya lagi setiap usaha Kerajaan Negeri adalah sebagai nilai tambah untuk mengurangkan impak sosio-ekonomi rakyat yang terkesan ketika ini dan beliau juga menyeru agar semua rakyat Terengganu bersatu hati dalam tempoh yang kritikal ini, kerana setiap langkah dan pematuhan arahan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) amatlah signifikan untuk mengatasi pandemik COVID-19 yang semakin serius.

Pada masa yang sama beliau menyeru agar rakyat terus menjadikan doa dan munajat sebagai rutin dan amalan harian. “Sayangi nyawa keluarga anda dan hargailah petugas barisan hadapan yang masih belum berhenti berjuang sejak lebih setahun yang lalu,” katanya.

-ii-

Tinggalkan komen anda