
PUTRAJAYA, 24 Jul (Malaysiaaktif) – Seramai 173 tenaga pengajar dari Institut Latihan Kementerian Kesihatan (KKM) akan ditugaskan ke fasiliti kesihatan di Lembah Klang mulai Selasa ini.
Ketua Setiausaha KKM Datuk Mohd Shafiq Abdullah berkata langkah itu bagi melancarkan proses dan gerak kerja di fasiliti kesihatan seperti hospital serta klinik dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai berada pada tahap optimum.
“KKM dari semasa ke semasa sentiasa mengkaji kaedah terbaik yang boleh dilaksanakan dengan mengguna pakai tenaga kerja sedia ada,” katanya dalam sidang media khas KKM di sini semalam.
Beliau berkata selain itu, seramai 170 pegawai pergigian dan 202 pegawai farmasi turut dihantar di kedua-dua fasiliti tersebut.
“Kita (KKM) juga menggalakkan graduan perubatan yang baharu mendaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia untuk menjadi sukarelawan di pusat pemberian vaksin (PPV) sebelum menjalani program latihan siswazah yang dijangka Ogos ini,” katanya.
Mohd Shafiq berkata hingga 12 Julai lepas, sebanyak 461 petugas kesihatan telah mengisi kekosongan bagi jawatan tetap dan kontrak di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.
“…dengan kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, 293 penolong pegawai perubatan Gred U29 telah dilantik secara kontrak untuk bertugas di Lembah Klang dan Negeri Sembilan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata hingga kini seramai 163 pegawai perubatan di Selangor meletak jawatan atas pelbagai faktor.
“Ada di antara mereka yang mendapat bayaran lebih tinggi apabila berkhidmat di PPV, mewarisi klinik keluarga dan menukar profesion,” katanya.
Bagaimanapun, katanya jumlah itu tidak menggambarkan trend peningkatan memandangkan purata peletakan jawatan bagi tempoh setahun di seluruh negara adalah 900 pegawai perubatan.
— BERNAMA