Skip to main content
Berita TimurTerengganu

MOVAK Bantu Percepat Vaksinasi Warga FELDA

By 14 Julai 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Syukri Ibrahim (Kemaman)

KEMAMAN, 14 Jul (Malaysiaaktif) – Pelaksanaan Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) berjaya membantu proses pemberian vaksin kepada 500 penduduk FELDA di Sekolah Menengah Kebangsaan FELDA Neram 1 di sini.

Inisiatif oleh Jabatan Perpaduan Negari Terengganu dan Pejabat Daerah Kemaman itu dilaksanakan selepas mengambil kira faktor penduduk yang belum mendaftar suntikan vaksin COVID-19 disebabkan masalah atau kekangan capaian internet di kawasan luar bandar.

Pengarah Jabatan Perpaduan Negeri Terengganu Mohd Rosli Alis yang ditemui berkata MOVAK akan membantu kerajaan meningkatkan jumlah pendaftaran dan penerimaan vaksin dalam kalangan masyarakat terutama penduduk luar bandar.

“Saya amat berpuashati dengan sambutan warga FELDA di sini yang mula hadir seawal pagi bagi mendapatkan vaksin masing-masing dan kerjasama yang diberikan pelbagai agensi amat baik sehingga berjaya melancarkan program hari ini.

“FELDA Neram dipilih sebagai lokasi pertama di negeri Terengganu kerana mengambilkira jaringan internet yang agak perlahan selain faktor jarak ke PPV yang agak jauh,” katanya.

Mohd Fakrullah Abdul Karim, 22.

Mohd Fakrullah Abdul Karim, 22.

Seorang penerima vaksin dalam program tersebut Mohd Fakrullah Abdul Karim, 22, pekerja Ladang Rakyat yang ternyata gembira apabila mendapat tahu warga FELDA di sini bakal menerima suntikan vaksinasi.

“Saya terkejut apabila nama saya tersenarai untuk divaksin kerana seperti semua sedia maklum masih ramai lagi yang berdaftar belum dipanggil untuk divaksin,” katanya.

Zakaria Besar, 48.

Zakaria Besar, 48.

Manakala Zakaria Besar, 48, yang juga seorang pesara tentera pula berpendapat, program MOVAK amat dinanti-nantikan oleh masyarakat luar bandar seperti beliau yang agak jauh untuk ke PPV yang ditetapkan oleh pihak kerajaan sebelum ini.

“Saya teruja apabila disenarai untuk temujanji suntikan vaksin hari ini, Alhamdulillah semua berjalan baik dan selesai sekejap sahaja,” katanya selepas menerima suntikan vaksin.

-ii-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda