
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan)
LABUAN, 7 Jul (Malaysiaaktif) – Pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) membantu sasaran untuk mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus populasi di Labuan menerima vaksin COVID-19.
Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr. Ismuni Bohari, PPV pandu lalu itu dibuka bagi mengurangkan kesesakan, memberi keselesaan kepada penduduk Labuan mendapat vaksin selain membantu Labuan mencapai sasaran sebagai negeri pertama mencapai imuniti berkelompok.
“Hingga semalam kita mencapai 81 peratus populasi yang telah divaksin sekurang-kurangnya untuk dos pertama dan kita mensasarkan 80 peratus lebih penduduk Labuan menerima dos kedua sebelum Ogos ini.
“Kita mendapat kerjasama yang baik daripada media dan MPPWP untuk memaklumkan kepada warga Labuan yang ingin mendapatkan vaksin dos kedua boleh mengambil vaksin di PPV yang berhampiran selain satu pasukan mobil yang akan dibentuk dalam masa terdekat untuk memberi vaksin kepada penduduk yang tidak mampu datang sendiri ke PPV,” jelasnya semasa ditemui pada majlis pelancaran PPV tersebut di UMSKAL, di sini semalam.
Pengarah UMSKAL Profesor Dr Jualang Azlan Gansau, berkata operasi PPV secara pandu lalu itu akan dilaksanakan sehingga tamat Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Labuan namun bergantung kepada arahan semasa.
“Seramai 20 petugas kesihatan termasuk dua Jururawat Klinik Rawatan Warga Kampus Antarabangsa Labuan selain beberapa lagi sukarelawan MyVac dan sukarelawan komuniti akan membantu menjayakan PPV secara pandu lalu ini.
“PPV secara pandu lalu ini hanya melibatkan pemberian vaksin dos kedua bagi membantu mengurangkan kesesakan di PPV awam yang lain dengan kapasiti pemberian sebanyak 800 hingga 1,000 orang sehari,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bashir Alias yang ditemui pada majlis yang sama menyeru semua pihak untuk bekerjasama dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Labuan dalam usaha memerangi COVID-19
“Saya menyeru masyarakat untuk bersatu-padu dan sentiasa bekerjasama untuk mendepani cabaran COVID-19 dan bukan hanya pandai mengkritik penjawat awam kerana itu boleh melemahkan semangat mereka untuk bekerja, sebaliknya kita perlu sama-sama turun padang dan memberi idea yang bernas bagi memutuskan rantaian COVID-19.
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam dan petugas barisan hadapan di bawah JPBD yang selama ini bekerja keras memerangi COVID-19 di pulau ini,” katanya.
-RI