
Foto: Gambar fail
PUTRAJAYA, 16 Ogos (Malaysiaaktif) – Inisiatif Program Mini Innovation Showcase Team Excellence (MTEx), kendalian Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) berjaya mencatat penjimatan kos operasi sebanyak RM283 juta bagi projek terbabit tahun ini walaupun negara mengalami pandemik COVID-19.
Jumlah itu membabitkan kiraan setahun projek beberapa kumpulan terbabit yang merekodkan kedudukan baik dalam program tersebut menerusi projek inovasi hasil daripada gabungan bersama sektor awam dan swasta.
Timbalan Ketua Pengarah MPC Datin Zainon Bakar berkata program tersebut yang diadakan secara konvensyen secara dalam talian pada 1 Julai lepas termasuk pembentangan hasil oleh peserta, merupakan inisiatif bagi merealisasikan komitmen industri dan sektor awam melaksanakan projek inovasi secara berkumpulan dikenali sebagai ‘Team Excellence’ (TE).
“Ini meliputi kumpulan inovatif dan kreatif (ICC), amalan persekitaran berkualiti (QE/5S), pengurusan padu industri 4.0 serta program lain peningkatan produktiviti dan inovasi di peringkat organisasi.
“Menerusi program itu, kumpulan TE bukan sahaja berpeluang menyumbang idea, tetapi turut diberi pendedahan secara komprehensif mengenai cara mengendalikan masalah dan penyelesaian secara inovatif serta sistematik,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Selain itu, MPC berkata, projek inovasi itu menambah baik proses kerja sedia ada melalui penggunaan teknologi terkini.
Perkhidmatan dan produk hasil daripada projek inovasi tersebut dapat mewujudkan penciptaan nilai yang membantu meningkatkan kecekapan bekerja dan menambah baik pengalaman dan kepuasan pelanggan mereka.
“Sebanyak 56 projek inovasi daripada 33 organisasi telah dibentangkan pada MTEx kali ini.
“Ia juga turut ditanda aras untuk memberi inspirasi kepada 688 peserta yang menyertainya bagi meningkatkan inisiatif inovasi dan produktiviti di peringkat organisasi masing-masing lebih-lebih lagi dalam situasi sekarang yang mana produktiviti dan inovasi adalah penting,” kata MPC.
— BERNAMA








