Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Inisiatif Rumah Ikram Keluarga Malaysia Kurangkan Beban Sewaan

By 25 September 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Facebook Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 25 Sep (Malaysiaaktif) –  Inisiatif Kediaman Rumah Keluarga Malaysia yang dikenali sebagai Rumah Ikram Keluarga Malaysia membantu mengurangkan beban berkaitan hal sewaan rumah bagi golongan yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

Nurrul Naqiah Sulaiman antara penerima inisiatif Rumah Ikram Keluarga Malaysia berkata kos menyewa rumah baginya adalah membebankan kerana beliau seorang sahaja yang perlu menampung keluarga dengan pendapatan RM2,000 sebulan setelah suaminya kehilangan kerja dan masih tidak mendapat pekerjaan.

Berdepan kesempitan tersebut, keluarga Nurrul Naqiah yang dikurniakan dua cahaya mata terpaksa menumpang di rumah keluarga mertua.

“Kita terpaksa menetap di keluarga mertua dan ini menyebabkan kita (rasa) terbeban dan membebankan keluarga mertua kerana ramai juga yang tinggal dalam satu rumah,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Nurrul Naqiah berkata beliau juga perlu memberi perhatian yang lebih kepada salah seorang anaknya yang autisme dan memerlukan ruang.

Nurrul Naqiah, 30, antara lima penerima Rumah Ikram Keluarga Malaysia yang menerima kunci rumah daripada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada pelancaran Rumah Ikram Keluarga Malaysia, di sini semalam.

Kelima-lima penerima itu menerima unit rumah yang terletak di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2.

Inisiatif Rumah Ikram Keluarga Malaysia yang diuruskan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu menjadi tempat teduhan kepada individu yang kehilangan dan kekurangan pendapatan, kehilangan pekerjaan sehingga tidak lagi mampu membayar sewa rumah yang tinggi dan terdesak menumpang di rumah saudara mara kerana terpaksa keluar dari rumah sewa.

Rumah Ikram Keluarga Malaysia disediakan di kawasan PPR sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Kedah, Kelantan dan Johor dengan kadar sewa minimum iaitu RM124 sebulan selama tempoh maksimum dua tahun.

Sally Sick, 45, berkata beliau terharu dan bersyukur dipilih sebagai penerima inisiatif berkenaan kerana menyewa rumah ketika ini baginya adalah membebankan kerana pendapatannya terjejas akibat COVID.

“Saya baru mulakan perniagaan online (dalam talian), pendapatan pun lembab. Memang terbeban kerana pandemik COVID-19 kerana pendapatan terjejas dan kos sewa rumah pun mahal,” katanya.

Lebih melegakan, katanya adalah apabila perdana menteri mengumumkan pengecualian bayaran sewa sehingga enam bulan bermula dari tarikh menerima kunci kepada penerima inisiatif berkenaan.

Bagi Hamidah Mohamad, 36, berkata beliau lega kerana akhirnya dapat tinggal di rumah sendiri walaupun menyewa kerana beliau sekeluarga perlu berpindah dari rumah mertua setelah adik iparnya akan berkahwin tidak lama lagi.

Ketika ini, beliau dan suami menetap di rumah mertua yang dihuni 10 orang.

“Memang sukar tapi terpaksa menumpang kerana sangat terkesan dengan pandemik COVID-19,” katanya yang mempunyai dua cahaya mata berumur setahun dan enam tahun.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda