Laporan/foto: Anuar Che Amat (Kangar)
KANGAR, 27 Okt (Malaysiaaktif) – Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) meminta kerjasama 610 pekebun kecil di negeri ini untuk segera mengemaskini dan mengesahkan maklumat mereka bagi membolehkan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) dapat disalurkan.
Menurut Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar Negeri Asmaiza Ahmad, seramai 1,427 orang pekebun kecil dan penoreh akan menerima Bantuan Musim Tengkujuh (BMT).
“Setakat 25 Oktober 2021, seramai 817 orang pekebun kecil getah RISDA telah mengemaskini dan mengesahkan maklumat terkini mereka manakala 610 orang lagi masih belum membuatnya,” katanya ketika ditemui pada Program Pekebun Kecil Makmur Peringkat Negeri Perlis di Kampung Chelong Chuping, di sini, semalam.
Tambah beliau, sebanyak RM600 seorang telah diperuntukan di bawah Bajet 2021 yang mana bantuan itu akan di salurkan secara berperingkat iaitu RM300 pada bulan November manakala baki RM300 lagi pada bulan Disember 2021.
“Para pekebun dan penoreh yang masih belum mengemaskini maklumat mereka perlu berbuat demikian secara atas talian di laman sesawang bmt.risda.gov.my atau hadir ke pejabat RISDA yang berhampiran selewat-lewatnya sebelum atau pada 15 November 2021,” ujarnya.
Beliau memaklumkan setakat Oktober 2021, pihak RISDA di negeri ini telah menerima peruntukan sebanyak RM 4.921 juta bagi pelaksanaan program pembangunan untuk para pekebun kecil.
“Kerajaan negeri menyokong segala usaha-usaha murni yang dijalankan oleh RISDA dalam memastikan kemakmuran pekebun kecil di negeri ini dikecapi bersama-sama.
“Usaha ini tidak akan tercapai jika para pekebun kecil RISDA tidak menyahut seruan ini dan bersama-sama memahami dan memberi komitmen sepenuhnya kepada perancangan yang telah digariskan oleh RISDA dalam model Perancangan Strategik RISDA Tahun 2021-2025,” jelasnya.
Asmaiza berkata, melalui model Perancangan Strategik RISDA Tahun 2021-2025 membolehkan para pekebun kecil memperoleh purata pendapatan kolektif RM4,500 sebulan pada akhir tahun 2025.
“Dari jumlah itu, RM1,500 diperoleh daripada kebun getah, RM2,500 daripada aktiviti keusahawanan dan RM500 daripada hasil baharu,” tambahnya.
Pada majlis tersebut, Che Amah Che Mid telah menerima Bantuan Agromakanan berjumlah RM63,000 bagi projek ternakan ayam piru berkelompok manakala Chongku a/l Echang telah menerima Bantuan Prasarana Asas Pertanian bernilai RM27,700 bagi TSB Bukit Kerengga.
Turut hadir, Pengarah RISDA Negeri Nor Afzami Isa dan Timbalan Pengarah RISDA Negeri Mohd Jarulullah Che Jahari.
-NI-