Laporan/foto : Fauziah Abdullah (Seremban)/ Albasya’ari Abdul Latif ( SUK Negeri Sembilan)
SEREMBAN, 27 Okt (Malaysiaaktif)– Syarikat Sime Darby Property Berhad telah melancarkan Bandar Hamilton di Nilai, Negeri Sembilan bagi meneruskan komitmen dalam membangunkan koridor pertumbuhan baharu di Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0) dengan keluasan 2,723 ekar yang berfokuskan kepada aktiviti perindustrian sederhana dan berat, serta dibangunkan untuk meningkatkan kegiatan sosioekonomi di kawasan tersebut.
MVV 2.0 merupakan kawasan ekonomi bersepadu yang melengkapkan pembangunan ‘Greater Kuala Lumpur’ dan ‘National Conurbation’, serta diiktiraf sebagai salah satu daripada 17 Zon Promosi Pembangunan di bawah Pelan Fizikal Negara dengan empat pemacu ekonomi iaitu industri berteknologi tinggi, pelancongan kesihatan, pendidikan dan penyelidikan berasaskan kemahiran, serta perkhidmatan khusus.
Bandar Hamilton ini akan dibangunkan menerusi empat fasa di mana fasa pertama, kedua dan keempat difokuskan kepada aktiviti perindustrian sederhana dan berat, manakala fasa ketiga pula akan dibangunkan khusus untuk perindustrian ringan yang akan dilengkapkan dengan kilang berkembar dan separa berkembar berkonsepkan taman perindustrian bersesuaian dengan keperluan berbeza mengikut jenis perniagaan, serta mampu untuk membangunkan komuniti berasaskan industri selain dijangka dapat mewujudkan peluang pekerjaan baharu bagi 740,000 penduduk yang menetap di kawasan sekitarnya.
Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Dato’ Azmir Merican berkata, lokasi Bandar Hamilton yang strategik di Nilai menjadikan perbandaran tersebut sebagai lokasi perusahaan yang menarik dan dilengkapi akses kepada infrastruktur penting seperti jaringan lebuhraya bagi perniagaan-perniagaan yang mencari alternatif di luar Lembah Klang.
“Bandar Hamilton ini menyediakan akses ke Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Utara-Selatan Lingkaran Tengah (ELITE), serta Lebuhraya Nilai-Labu yang akan dibuka pada masa hadapan.
Jaringan lebuhraya ini akan menghubungkan Bandar Hamilton dengan hab-hab logistik utama seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Pelabuhan Klang, serta produk-produk industri Sime Darby Property lain, antaranya di Bandar Elmina, Bandar Bukit Raja, dan Bandar Serenia,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran Bandar Hamilton, semalam.
Perbandaran industri ini juga bakal menempatkan taman rekreasi berlandskap, yang direka bagi mewujudkan persekitaran yang hijau, dengan laluan joging khusus sepanjang tasik seterusnya akan memberikan manfaat kepada penduduk di sekitar kawasan tersebut.
-FF