Skip to main content
Berita SelatanNegeri Sembilan

Informasi Berterusan Sempena Rentas Negeri

By 18 Oktober 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto : Mohd Shaharudin Suratman / Muhammad Luqmanul Hakim (Seremban)

Seremban, 18 Okt (Malaysiaaktif) – Pejabat Penerangan Daerah Seremban telah melaksanakan program Info On Wheels (IOW) Khas sempena pengumuman kerajaan yang membenarkan rentas negeri bermula 11 Oktober 2021 yang lalu.

Menurut Pegawai Penerangan Daerah Seremban Fauziah Abdullah, aktiviti hebahan tersebut dibuat bagi memberi maklumat dan sebagai peringatan kepada orang ramai supaya mematuhi langkah-langkah pencegahan COVID-19 melalui kaedah kawalan kendiri sewaktu rentas negeri.

“Orang ramai cukup teruja dengan pengumuman kerajaan yang membenarkan rentas negeri setelah hampir 9 bulan kita mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun dengan sedikit kealpaan dan kecuaian, peluang untuk kita mendapat jangkitan COVID-19 cukup tinggi jika tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, “katanya ketika ditemui di Hentian Senawang Utara, semalam.

Sesi penerangan mengenai Kawalan Kendiri TRIIS.

Sesi penerangan mengenai Kawalan Kendiri TRIIS.

Sementara itu, seorang pengguna Hentian Senawang Utara ini Suhana Abdul Jalil, berkata beliau terkejut dengan kehadiran petugas Jabatan Penerangan di hentian ini.

“Sepanjang saya mengguna hentian Rehat Dan Rawat (R&R) selama ini, baru pertama kali saya melihat aktiviti hebahan menggunakan kenderaan seperti ini. Syabas pada Jabatan Penerangan Negeri Sembilan atas inisiatif yang dijalankan bagi membendung meningkatnya kadar jangkitan COVID-19 di negara ini.

“Dari Putrajaya hingga ke Johor Bahru, dan kini saya dalam perjalanan pulang semula ke Putrajaya, memang ramai pengguna lebuhraya sama ada individu atau berkumpulan yang mengabaikan pematuhan SOP ini dan mereka hanya berjaga-jaga apabila terdapat penguatkuasa atau kakitangan yang bertugas di kawasan ini,” katanya.

Tambah Suhana, dengan kehadiran kakitangan Jabatan Penerangan ini secara tidak lansung menyebabkan orang ramai berasa takut untuk melanggar SOP dan kaedah hebahan ini boleh membantu orang ramai mendapatkan maklumat.

Edaran bahan penerbitan pada pengguna R&R.

Edaran bahan penerbitan pada pengguna R&R.

Aktiviti IOW Khas Rentas Negeri ini dijalankan serentak oleh semua pejabat penerangan daerah seluruh Malaysia bagi memasarkan dan menyampaikan maklumat terkini kepada orang ramai khususnya di lokasi tumpuan awam dan kawasan percutian.

-FF

Tinggalkan komen anda