Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Pantai Air Papan Dibanjiri Pelancong

By 18 Oktober 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahairi Ahmad Zabidi/Mohd Hanif Ahmad (Mersing)

MERSING, 18 Okt (Malaysiaaktif) – Pantai Air Papan yang terletak lapan kilometer dari pusat bandar Mersing mula menerima kedatangan para pengunjung dari dalam dan luar daerah selepas beberapa bulan pusat pelancongan ini ditutup dalam usaha kerajaan mengawal pandemik COVID-19.

Menurut seorang pengunjung, Shafik Fairuz, 41, dia dan keluarganya memilih untuk bercuti ke pantai ini kerana lokasinya yang cantik dan terdapat pelbagai kemudahan lain termasuk resort dan chalet, kedai makan serta kedai cenderahati.

“Saya ingin mencadangkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk membuka kiosk pendaftaran di laluan masuk bagi memudahkan para pengunjung yang datang mengimbas aplikasi MySejahtera dan menasihati mereka agar sentiasa mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” katanya ketika ditemui di Pantai Air Papan Mersing, di sini, semalam.

Tinjauan disekitar kawasan Pantai Air Papan Mersing menunjukkan kehadiran para pengunjung yang semakin meningkat.

Tinjauan disekitar Pantai Air Papan Mersing menunjukkan peningkatan jumlah kehadiran para pengunjung.

Seorang lagi pengunjung yang ditemui, Nur Syuhada Othman, 33, dari Muar berkata beliau memang sudah berjanji dengan anak-anak untuk membawa mereka berkelah di Pantai Air Papan, Mersing setelah lebih sepuluh bulan berkurung di rumah disebabkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan oleh kerajaan.

Peniaga Pantai Air Papan Che Salbiah Manap, 53, berkata beliau gembira melihat jumlah kehadiran para pengunjung yang semakin meningkat setelah sekian lama para peniaga di sini tidak menerima kehadiran ramai pengunjung di pantai ini sejak pengumuman PKP 2.0 oleh kerajaan bermula 13 Januari yang lalu.

“Kami sangat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan di atas kelonggaran, pembukaan sektor ekonomi dan pelancongan dalam negara yang diberikan.

Para peniaga bersyukur kerana dengan pembukaan semula sektor ekonomi dan pelancongan, mereka dapat menambah sumber pendapatan yang terjejas.

Para peniaga bersyukur dengan pembukaan semula sektor ekonomi dan pelancongan dapat menambah sumber pendapatan yang terjejas.

“Kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan ini secara tidak langsung dapat membantu memulihkan ekonomi dan memberi nafas semula kepada para peniaga kecil di pantai ini,”ujarnya.

Tambahnya, walaupun situasi tidak sama seperti sebelum pandemik, beliau tetap gembira dan tidak sabar menunggu hujung minggu kerana ia merupakan hari di mana kehadiran para pengunjung akan meningkat yang mana ia boleh membantu menambah sumber pencarian rezeki para peniaga kecil sepenuh masa.

“Saya berharap dengan pembukaan semula sektor pelancongan ini dapat melonjakkan kembali ekonomi para peniaga yang rata-rata sumber pendapatan mereka terjejas kerana pandemik COVID-19 yang melanda negara,” tambahnya lagi.

-NI-

Tinggalkan komen anda