![](https://malaysiaaktif.my/wp-content/uploads/2021/10/10.jpeg)
Laporan/foto : Nor Aziana Azreen binti Roslan/Mohammad Ezwandi Mohammad Radzi (Ipoh)
IPOH, 18 Okt (Malaysiaaktif) – Dalam keghairahan dibenarkan merentas negeri untuk pulang ke kampung halaman mahupun meneruskan percutian ke destinasi pilihan bersama keluarga tersayang, orang ramai diingatkan supaya terus mematuhi Prosedur Operasi Standart (SOP) dan mempertingkatkan amalan kendiri, mesej utama yang disampaikan oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Negeri Perak, di sini baru-baru.
Tinjauan Cawangan Media Siber, JaPen Perak ke tiga lokasi kawasan Rehat dan Rawat (RnR) arah utara iaitu RnR Tapah, Simpang Pulai dan Sungai Perak mendapati kenderaan mula banyak keluar dan masuk memenuhi kawasan RnR tersebut serta dijangka lebih banyak menjelang cuti hujung minggu bersambung dengan cuti Maulidur Rasul.
Pengunjung yang ditemui, Faridah Tabir, 50,yang berhenti rehat dan menjamu selera di pondok RnR Tapah, meluahkan rasa gembira dapat pulang ke kampung halaman setelah hampir setahun lebih tidak dapat merentas negeri dan di samping menghantar anaknya kembali meneruskan pengajian di Kedah.
Berbeza pula dengan Mohammad Shahir yang turut ditemu bual di RnR Sungai Perak, dia berkata, kebenaran rentas negeri dimanfaatkan sepenuhnya olehnya dengan membawa ahli keluarga bercuti di Cameron Highland sebelum pulang semula ke Pulau Pinang.
![Mohammad Shahir ketika berhenti rehat di RnR Sungai Perak setelah membawa keluarga bercuti di Camron Highland.](https://malaysiaaktif.my/wp-content/uploads/2021/10/9-300x202.jpeg)
Mohammad Shahir ketika berhenti rehat di RnR Sungai Perak setelah membawa keluarga bercuti di Camron Highland.
“Saya berasa lega dapat membawa anak-anak dan keluarga bercuti setelah hampir setahun lebih tidak dapat membawa ahli keluarga bercuti,” katanya.
Tambahnya, bercuti dapat membantu memperkukuhkan ekonomi penduduk setempat khususnya di kawasan pelancongan serta ekonomi negara.
Selain memantau situasi semasa kawasan RnR, Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Perak komited turun padang untuk membuat hebahan melalui unit bergerak JaPen dalam penyampaian pematuhan SOP dan Amalan Kendiri kepada pengunjung melalui program Info on Wheels (IOW) di sini, baru-baru ini.
Turut hadir di setiap lokasi mengikut daerah masing-masing adalah Pegawai Penerangan Daerah (PPD) Batang Padang, Juhannis Haji Idris, PPD Kampar Azalina dan PPD Kuala Kangsar Tuan Saiful Bahari.
~RJ~