Laporan/foto : Nor Aziana Azreen Roslan/Mohammad Ezwandi Mohammad Radzi (Ipoh)
IPOH, 18 Okt (Malaysiaaktif) – Kebenaran rentas negeri yang diberi oleh kerajaan bermula Isnin, 11 Oktober 2021 yang lalu selepas kadar vaksinasi dewasa mencecah 90 peratus populasi dewasa memberi sinar baru kepada para peniaga di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Tapah arah Utara di sini, baru-baru ini.
Tinjauan yang dibuat oleh Jabatan Penerangan Negeri Perak ke lokasi RnR Tapah menunjukkan peningkatan jumlah kenderaan dan pengunjung yang berhenti rehat melepaskan lelah disamping menjamu selera sebelum menyambung perjalanan ke destinasi yang dituju.
Peniaga gerai buah-buahan yang ditemui Hentian RnR Tapah, Mazni Mohd Noh menzahirkan rasa syukur selepas gerai jualannya dibuka semula dan mendapat sambutan selepas pergerakan rentas negeri dibenarkan.
“Saya bersyukur dan seronok apabila orang mula ramai singgah di RnR sejak dua tiga hari yang lalu serta semakin bertambah jumlahnya hari ini dan dijangka akan bertambah ramai bermula minggu ini,” katanya.
Tambahnya, gerai jualannya baru dibuka dua bulan yang lalu, setelah hampir tiga bulan terpaksa ditutup kerana tiada pengunjung namun hari ini, hasil jualannya mula mendapat sambutan dan mampu menjana semula ekonomi keluarga di samping merancakkan lagi ekonomi negara.
“Pengunjung yang singgah tetap mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa jelasnya sebelum mengakhiri temu ramah di sini, kemarin.
Sementara itu, tinjauan di lokasi itu mendapati gerai-gerai jualan sudah banyak beroperasi sepenuhnya dan dipenuhi pengunjung yang menjamu selera di situ tidak ketinggalan pengunjung yang memesan makanan berbungkus untuk dimakan di dalam kenderaan masing-masing.
Turut hadir membuat hebahan dan edaran bahan penerbitan berkaitan pematuhan SOP serta tingkatkan amalan kendiri, Pegawai Penerangan Daerah Batang Padang, Juhannis Haji Idris bersama kakitangan.
~RJ~