Laporan/foto: Mohd Nazri Saparudin (Langkawi)
Langkawi, 19 Oktober (Malaysiaaktif) – Perarakan sebanyak 12 bot nelayan diiringi selawat ke atas Nabi Muhammad SAW, di lautan sempena sambutan Maulidur Rasul merupakan suatu kelainan yang dilaksanakan oleh Pejabat Penerangan Daerah Langkawi di samping pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 yang lengkap dan pembudayaan normal baharu.
Program Sepakat @ Komuniti Daerah Langkawi 2021 ini adalah anjuran bersama Pejabat Penerangan Daerah Langkawi dan Lembaga Kemajuan ikan Malaysia (LKIM).
Pegawai Daerah Langkawi, Haji Saiful Anuar Azmi, berkata program semalam sangat bagus kerana perarakan sambutan Maulidur Rasul yang dilakukan dengan menaiki bot nelayan adalah suatu kelainan.
“Acara berselawat nabi sempena sambutan Maulidur Rasul yang diadakan dengan menaiki bot nelayan sangat unik dan tahniah kepada pihak Pejabat Penerangan Daerah Langkawi atas penganjuran program tersebut.
“Selain kita mengadakan acara perarakan, kita semua juga dapat mendengar tazkirah yang dapat menambahkan ilmu kita bersama,” ujarnya lagi.
Tambahnya, semua perlu terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan bagi memastikan jangkitan wabak COVID-19 di Pulau Langkawi beransur pulih agar Pulau Langkawi kembali ke zon hijau.
Pegawai Penerangan Daerah Langkawi, Siti Nor Salwa Abd Razak dalam ucapannya berkata, Program Sepakat @ Komuniti Daerah Langkawi yang diadakan pada tahun ini dibuat secara sederhana dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
“Sempena sambutan Hari Maulidur Rasul tahun ini, kami ingin membuat kelainan dengan mengadakan perarakan dan berselawat nabi di atas bot nelayan,” katanya.
“Menurutnya lagi, orang ramai harus mengamalkan pembudayaan norma baharu dalam kehidupan harian memandangkan negara masih berdepan wabak COVID-19.
Acara berselawat dan perarakan dengan menggunakan 12 buah bot nelayan sejauh 10 kilometer bermula dari Jeti Pulau Rebak Kecil dan berakhir di Kompleks LKIM Chenang yang turut diiringi sebuah bot daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Langkawi.
Selain itu, diadakan juga acara tazkirah yang disampaikan oleh Guru Sekolah Kebangsaan Kedawang, Muhammad Zillal Shabudin dan penyampaian sumbangan kepada 10 orang penerima (nelayan) serta penyampaian plak daripada APM Langkawi kepada pengerusi MyKP Chenang.
Turut hadir, Pegawai LKIM Daerah Langkawi, Mohamad Anas Ahmad, Ketua Daerah Perikanan Langkawi, Azhar Ahmad dan Pengerusi MYKP Chenang, Mahzan Arifin.
~RJ~