Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Harapan Ibu Tunggal Miliki Rumah Sendiri Tercapai

By 30 November 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto : Norhasirah Deris (Marang)

MARANG, 30 Nov (Malaysiaaktif) – Tiada apa yang menggembirakan hati seorang ibu tunggal yang menjadi pengasuh apabila impiannya untuk memiliki kediaman sendiri terlaksana.

Norhayati Alias merupakan salah seorang individu yang menerima manfaat daripada Program Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS) iaitu sebuah rumah dan mendapat peruntukan daripada pihak Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu (SUK).

Terdahulu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar telah merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Rumah bagi Program Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS) diiringi oleh Brigedier Jeneral Abu Hassan Assha’ari Kamis@Shaffiee di Kampung Baru Rhu Muda, Marang semalam.

“Seramai 16 anggota yang terdiri daripada Pasukan 7 Skuadron Rejimen Askar Di Raja Kem Desa Pahlawan, Kota Bharu bersama anggota Rejimen 512 Askar Wataniah Kem Padang Midin, Terengganu bertanggungjawab untuk membantu dari segi kemahiran dan kepakaran kerja-kerja kejuruteraan bagi pembinaan rumah ini,” kata Brigedier Jeneral Abu Hassan Assha’ari Kamis@Shaffiee ketika memberi taklimat kepada Menteri Besar Terengganu.

Taklimat CSR Program Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS) daripada pihak tentera kepada Menteri Besar.

Taklimat CSR Program Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS) daripada pihak tentera kepada Menteri Besar.

Tambah beliau, rumah berkeluasan 20’’ x 30’ yang memuatkan ruang tamu, dapur, tiga bilik tidur, satu bilik air dan satu tandas merupakan kriteria asas bagi sebuah kediaman yang ditetapkan oleh pihak Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu.

Sementara itu, Norhayati tidak putus-putus meluahkan rasa syukur dengan rezeki kediaman yang diterimanya.

“Setelah kematian suami saya menjadi pengasuh untuk menyara keluarga, tak terluah perasaan syukur saya pada hari ini kerana saya dan anak-anak seramai lima orang mendapat kediaman yang sempurna dan selesa,” katanya ketika ditemuramah oleh media diluar kediamannya.

Jelas Norhayati lagi, dirinya berasa teramat bersyukur setelah mendapat berita bahawa beliau akan menerima sebuah rumah sumbangan daripada pihak Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu dan dilaksanakan secara tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh pihak yang terlibat semalam.

Majlis turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja, Pegawai Daerah Marang, Lizan Che Mat dan Pegawai Khas Ahli Parlimen Marang, Haron Jusoh serta ketua-ketua jabatan di Daerah Marang.

Tinggalkan komen anda