Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Jalan Baharu yang Lebih Selamat Untuk Pengguna Jalan Ayer Hitam dan Parit Raja

By 12 November 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Hidayah Mohd Izam (Batu Pahat)

BATU PAHAT, 12 Nov (Malaysiaaktif) – Seramai 200 orang menghadiri Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Kontraktor dan Pecah Tanah bagi pelaksanaan Projek Membina Median, Pusingan U serta Kerja-Kerja Berkaitan di Jalan Batu Pahat – Ayer Hitam – Kluang FT050 daripada Parit Sempadan Batu Pahat hingga ke Jambatan Merentasi Lebuhraya Plus, semalam.

Menurut Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, jalan ini merupakan jalan utama tanpa tol yang menghubungkan daerah Batu Pahat hingga ke Kluang.

“Keperluan projek ini adalah sangat mendesak dan penting bagi mengurangkan jumlah kemalangan maut dan parah di sepanjang jajaran ini yang direkodkan sebagai lokasi kemalangan tertinggi di Malaysia disebabkan oleh ketiadaan median dan bahu jalan.

Penyampaian Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor yang terlibat projek ini

Penyampaian Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor yang terlibat projek ini.

“Dari tahun 2015 sehingga 2020, terdapat sejumlah 405 kemalangan dengan 227 kemalangan maut dicatatkan di laluan FT050,” katanya semasa merasmikan Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Kontraktor dan Pecah Tanah bagi pelaksanaan Projek Membina Median, Pusingan U dan Kerja-Kerja Berkaitan di Jalan Batu Pahat – Ayer Hitam – Kluang FT050, di sini, semalam.

Tambah beliau, laluan yang menghubungkan Pekan Parit Raja ke Plaza Tol Ayer Hitam ini juga direkodkan sebagai laluan berkapasiti tinggi dan sering berlaku kesesakan teruk terutama menjelang musim cuti perayaan.

“Kajian trafik yang dijalankan pada tahun 2020 merekodkan 28,298 trafik dalam masa 16 jam dan 2,279 trafik dalam waktu puncak 5.00 hingga 6.00 petang yang mana ia merupakan jumlah tertinggi laluan trafik di daerah ini,” ujarnya.

Projek bernilai RM250 juta ini yang dijangka akan siap pada tahun 2024 mendapat sambutan yang baik oleh Ahli Parlimen Ayer Hitam merangkap Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Ir. Dr. Wee Ka Siong dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri Parit Raja Rasyidah Ramli yang telah sekian lama memperjuangkan penaiktarafan laluan jalan ini demi keselesaan dan keselamatan penduduk.

-NI-

Tinggalkan komen anda