Foto: Bank Negara
PUTRAJAYA, 12 Nov (Malaysiaaktif) – Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) boleh mendapatkan bantuan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk penilaian kredit, kata Gabenor BNM Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus hari ini.
Walaupun terdapat dakwaan bank-bank sekarang adalah lebih ketat dalam menilai profil kredit, data yang ada mencerminkan bahawa pengagihan pinjaman telah berada ke tahap sebelum pandemik.
“Pinjaman mula meningkat tetapi wujud kes penolakan yang mungkin dilihat tidak bersifat adil.
“Jadi, sila tampil ke hadapan, supaya kami boleh menilai isu-isu ini dengan sewajarnya,” katanya selepas mengumumkan prestasi suku ketiga Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia tahun ini.
Beliau berkata, keputusan untuk meluluskan sebarang permohonan pinjaman bergantung kepada penilaian bank terhadap keupayaan peminjam untuk membayar.
Gabenor itu menjawab pertanyaan mengenai PKS yang berhadapan dengan kesukaran untuk memohon pinjaman baharu terutama selepas mengambil moratorium dan pihak bank pula dilihat adalah lebih ketat dalam menilai profil kredit pemohon.
Nor Shamsiah menjelaskan keseluruhan perniagaan bank berkisar kepada penawaran pembiayaan, baik kepada individu atau perniagaan dan disebabkan rekod mereka yang baik, pihak bank masih dapat menyokong keperluan pembiayaan mereka ketika negara melalui pandemik.
Pemberian pinjaman kepada sektor runcit dan PKS meningkat kira-kira 13.1 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, sama seperti paras sebelum pandemik.
PKS digesa untuk meneroka pilihan yang tersedia melalui platform rujukan pembiayaan dalam talian bank pusat, iamSME, yang akan membantu mereka memadankan keperluan pembiayaan dengan tawaran yang sesuai bukan sahaja dari bank tetapi juga pemberi pinjaman lain.
Peminjam turut boleh memanfaatkan khidmat nasihat kewangan yang ditawarkan oleh platform Khidmat Nasihat Pembiayaan atau MyKNP untuk membantu dalam permohonan pinjaman mereka, katanya.
Sehingga kini, hampir 6,000 PKS telah dibantu melalui platform tersebut.
Nor Shamsiah ketika mengulas mengenai inisiatif BNM berkata bank pusat itu telah memperkenalkan banyak kemudahan pinjaman kepada PKS untuk membantu mereka mengharungi pandemik dan lebih penting sebagai pelaburan bagi masa depan.
BNM juga telah mengumumkan peruntukan tambahan bernilai RM4.5 bilion membabitkan dana sedia ada dan dua dana baharu yang dikhaskan untuk PKS.
— BERNAMA