Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor Bahru)/KTM Berhad
JOHOR BAHRU, 22 Nov (Malaysiaaktif) – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menghentikan sementara operasi tren di antara stesen Johor Bahru Sentral (JBS) dan Kempas Baru berikutan pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas–JB Sentral (PLBEGJB) yang akan dijalankan di antara dua stesen ini.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh KTMB, Ketua Pegawai Operasi Mohd Zain Mat Taha pemberhentian perkhidmatan tersebut akan mula berkuatkuasa pada 23 November 2021 dan kerja-kerja menaik taraf dijangka siap dalam tempoh enam bulan iaitu pada Mei 2022.
“Ekoran itu, operasi perkhidmatan tren Ekspres Selatan bagi laluan JBS–Gemas–JBS dan Ekspres Rakyat Timuran bagi laluan JBS–Tumpat–JBS akan mengalami perubahan.
“Manakala bagi perkhidmatan shuttle Tebrau di antara JBS–Woodlands–JBS masih tidak beroperasi sehingga kerja-kerja pembinaan ini selesai,” kata kenyataan tersebut, di sini, hari ini.
Mulai 23 November ini, penumpang yang akan membuat perjalanan menggunakan perkhidmatan Ekspres Selatan dan Ekspres Rakyat Timuran perlu ke Stesen Kempas Baru kerana perkhidmatan tren akan tamat dan mula di stesen tersebut.
“Penumpang yang telah membeli tiket dari atau ke JBS serta yang tidak berhasrat untuk meneruskan perjalanan, pemulangan tambang penuh akan dikreditkan ke dalam KTM Wallet melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS).
“KTMB juga akan bekerjasama dengan syarikat e-hailing bagi memastikan ketersediaan pengangkutan alternatif di stesen yang terlibat,” tambah kenyataan tersebut.
KTMB juga meminta orang ramai untuk mendapatkan maklumat semasa operasi tren menerusi laman sesawang atau boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB 03-22671200.
-NI-