Laporan/foto : Mohd Shaharudin Suratman (Seremban) / Norfazila Ahmad (Politeknik Nilai)
SEREMBAN, 20 Nov (Malaysiaaktif) – Menyedari hakikat penularan pandemik COVID-19 masih belum reda sepenuhnya, pihak pengurusan Politeknik Nilai telah melaksanakan majlis bersejarah bagi graduan iaitu Majlis Konvokesyen Politeknik Nilai Kali Ke-9 dan diadakan secara hibrid.
Pengarah Politeknik Nilai Wan Zulkifly Wan Zakaria, berkata bahawa keselamatan pelajar-pelajar sentiasa menjadi keutamaan pihak pengurusan politeknik dan kaedah hibrid ini lebih sesuai bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19.
“Majlis Konvokesyen ini adalah hari yang dinantikan oleh garduan kerana dapat meraikan segala penat lelah dan kepahitan yang dilalui sebagai siswa telah menjadi satu kemanisan yang sangat bererti untuk dikenang dan diraikan walaupun keseronokan tersebut ianya diraikan dalam keadaan terhad kerana graduan perlu mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh MKN.
“Tahun ini merupakan tahun kesembilan Politeknik Nilai mengadakan majlis bagi meraikan para graduan yang melibatkan seramai 1,571 orang dari 4 kohort iaitu Sesi Disember 2018, Sesi Jun 2019, Sesi Disember 2019 dan Jun 2020 dari Jabatan Perdagangan, Jabatan Agroteknologi & Bio-Industri (JAB) dan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM),” katanya sewaktu dihubungi baru-baru ini.
Graduan Diploma Kejuruteraan Mekanikal (JKM) Muhammad Amirul Afiq Zulkarnain, berkata walaupun beliau gembira dengan majlis konvokesyen ini, namun beliau merasa sedih kerana telah kehilangan ayah baru-baru ini.
“Saya gembira dapat banggakan keluarga saya walaupun kegembiraan dan kejayaan saya ini tidak dapat dikongsi bersama dengan ayah tersayang kerana beliau telah meninggalkan kami sekeluarga akibat COVID-19 pada bulan jun yg lepas,” katanya yang hadir bersama ibu dan adik perempuan di majlis konvokesyen ini.
Majlis Konvokesyen PNS Kali ke 9 ini meraikan seramai 992 graduan yang hadir menerima diploma dalam bidang masing-masing.
Majlis juga telah memilih tiga orang pelajar untuk Anugerah Pengarah mengikut sesi pengajian, mereka ialah Muhammad Arif Izzuddin Misnan Jabatan Perdagangan, Muhammad Hafiz Mohd Sunaz Jabatan Agroteknologi & Bio-Industri (JAB) dan Muhammad Amri Md. Amin Jabatan Perdagangan.
-FF