Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Graduan OKU Politeknik Shah Alam Mampu Penuhi Pasaran Pekerjaan

By 8 Disember 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/PSA

SHAH ALAM, 8 Dis (Malaysiaaktif) – Graduan orang kurang upaya (OKU) yang dilahirkan Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), di sini mampu bersaing dan memenuhi pasaran pekerjaan di negara ini.

Pengarah PSA, Dr Mohd Zahari Ismail, berkata program Sijil Kemahiran Penyenggaraan Mekanikal untuk pelajar berkeperluan khas (masalah pendengaran) bertujuan menyediakan program latihan dan kemahiran bagi mengisi pasaran kerja di industri.

“Para pelajar ini dilatih bekerja berpasukan serta boleh berkomunikasi secara berkesan untuk menghadapi cabaran dan persaingan dalam industri serta persekitaran.

“Justeru, PSA berharap lulusan program ini boleh mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang mereka pelajari untuk menyesuaikan diri dengan masyarakat dan perubahan teknologi terkini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Konvokesyen PSA ke-22 di Shah Alam hari ini.

Katanya, seramai 23 graduan OKU ini adalah antara 2,818 graduan PSA yang menerima ijazah, diploma serta sijil pada Majlis Konvokesyen yang diadakan secara fizikal bermula 6 hingga 10 Disember.

Graduan PSA mengaminkan doa semasa Majlis Konvokesyen ke-22 di Shah Alam.

Graduan PSA mengaminkan doa semasa Majlis Konvokesyen ke-22 di Shah Alam.

Sementara itu, seorang graduan OKU, Yip Kin Fei, 24, ketika ditemui melahirkan perasaan gembira kerana berjaya menamatkan pengajian.

“Walaupun di peringkat awal pengajian timbul sedikit kesukaran akibat masalah komunikasi, namun para pensyarah banyak membantu.

“Kami bersyukur kerana pensyarah banyak membantu untuk memahami pelajaran sepanjang pengajian di PSA,” katanya.

(Dari kanan) Yip Kin Fei dan kembarnya, Yip Kin Heng menunjukkan Sijil Kemahiran Penyenggaraan Mekanikal yang diterima di Majlis Konvokesyen PSA ke-22 di Shah Alam.

(Dari kanan) Yip Kin Fei dan kembarnya, Yip Kin Heng menunjukkan Sijil Kemahiran Penyenggaraan Mekanikal yang diterima di Majlis Konvokesyen PSA ke-22 di Shah Alam.

Seorang lagi graduan, Yip Kin Heng, 24, pula berkongsi pengalaman awal ketika mereka memulakan pengajian di PSA.

“Mula-mula sangat penat, tetapi lama kelamaan kami boleh sesuaikan diri.

“Bila kami menjalani latihan industri dan bekerja, kami sudah terbiasa dengan melakukan kerja berat dalam masa yang panjang,” katanya yang merupakan kembar Yip Kin Fei.

Program Sijil Kemahiran Penyenggaraan Mekanikal ditawarkan di PSA bermula pada sesi Jun 2000 dan sehingga kini hampir 400 graduan OKU pendengaran berjaya dilahirkan.

-RI

Tinggalkan komen anda