Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

BNM Umum Kemudahan Pembiayaan RM200 Juta kepada PMKS

By 21 Disember 2021Tiada komen1 minit bacaan

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 21 Dis (Malaysiaaktif) – Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan kemudahan pembiayaan sebanyak RM200 juta yang disediakan untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terjejas akibat banjir di seluruh negara baru-baru ini melalui Kemudahan Bantuan Bencana 2022 (DRF 2022).

Kemudahan ini akan disediakan mulai 27 Disember 2021 sehingga peruntukan digunakan sepenuhnya (atau sehingga diberitahu kelak, bergantung pada situasi banjir), menurut BNM.

Katanya DRF 2022 akan membantu PKS menampung kos membaiki dan/atau mengganti aset untuk kegunaan perniagaan seperti loji dan mesin yang telah rosak akibat banjir dan/atau untuk modal kerja.

“DRF 2022 ini tersedia untuk PKS, termasuk perusahaan mikro, dengan jumlah pembiayaan maksimum hingga RM500,000 bagi setiap PKS dan hingga RM75,000 bagi setiap perusahaan mikro.

“Tempoh pembiayaan adalah hingga lima tahun, termasuk tempoh moratorium selama enam bulan ke atas bayaran pokok dan faedah/keuntungan. Kadar pembiayaan adalah hingga 3.50 peratus setahun, termasuk apa-apa fi jaminan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Bank pusat itu berkata perniagaan yang terjejas boleh memohon daripada institusi kewangan peserta yang terdiri daripada bank perdagangan, bank-bank Islam dan institusi kewangan pembangunan yang dikawal selia oleh BNM.

Para peniaga boleh menghubungi Bank Negara Malaysia melalui bnm.gov.my/LINK sekiranya mereka menghadapi sebarang kesulitan berhubung kemudahan di atas.

Maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi institusi kewangan mereka dengan merujuk laman sesawang institusi berkenaan.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda