Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Kesemua 11 Penyertaan MARDI Raih Pingat di ITEX

By 20 Disember 2021Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 20 Dis (Malaysiaaktif) – Kesemua 11 penyertaan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Pameran Ciptaan, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2021 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 13 dan 14 Disember lepas meraih pingat dengan membawa pulang sembilan emas dan dua perak.

MARDI turut merangkul dua pingat iaitu satu perak bagi inovasi makanan untuk penuaan sihat dan satu pingat gangsa untuk teknologi aplikasi mudah alih pemantauan pelarasan jentuai padi pada Seoul International Invention Fair (SIIF) yang berlangsung secara hibrid pada 1 hingga 4 Disember.

Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani dalam sidang media hari ini berkata kesemua teknologi yang diketengahkan MARDI di kedua-dua pertandingan inovasi itu mempunyai nilai komersial yang berpotensi besar terutama produk makanan.

“Berdasarkan rekod penyertaan sepanjang lima tahun terdahulu dari 2016 hingga 2020, penyertaan MARDI di ITEX kali ini membawa kegemilangan kerana berjaya merangkul kemenangan besar dengan 100 peratus memenangi pingat,” katanya.

Mohamad Zabawi berkata sejak kemenangan itu, pihak MARDI menerima tawaran daripada lebih 10 usahawan tempatan yang berminat dengan inovasi tersebut untuk dipasarkan terutama produk makanan.

Beliau berkata antara inovasi yang menarik perhatian usahawan adalah bijirin bernutrisi antosianin daripada ubi keledek anggun dengan teknologi makanan padat nutrien, sup bernutrisi mengandungi ekstrak pegaga dan bahan daripada sumber pertanian dan rumpai laut, serta keropok lekor lembut sejuk beku.

“Kita jangka dalam masa enam bulan produk tersebut dipasarkan,” katanya.

Mohamad Zabawi berkata MARDI mempunyai 65 inovasi merangkumi makanan, mesin, tanaman dan komestik yang bersedia untuk dikomersialkan usahawan tempatan.

Saintis Kanan MARDI Ten Seng Teik, yang mencipta sistem visi kamera pintar dengan kolaboratif robot untuk membersihkan sarang burung walit, berkata inovasi beliau mengambil masa tiga tahun untuk dihasilkan.

“Idea tercetus kerana tenaga kerja semakin kurang dan kerja membersih sarang memerlukan kekuatan mata. Inovasi ini untuk meningkatkan hasil sarang burung walit,” katanya.

Beliau berkata kaedah pembersihan sarang burung secara manual memerlukan lebih sejam namun dengan mesin tersebut hanya memerlukan 20 minit.

Penyelidik makanan MARDI Nor Zalina Mat Saad yang meraih pingat perak bagi inovasi makanan untuk penuaan sihat dalam penyertaan sulungnya pada SIIF berkata tiga produk yang diketengahkan ialah bar protein, puding dan konfeksi ais bebas laktosa berasaskan sayur-sayuran dan ubi keledek anggun.

Beliau berkata produk tersebut dicipta khas untuk warga emas kerana setakat hari ini, tiada produk yang khusus dihasilkan mengikut kesesuaian dan cita rasa golongan warga emas.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda