
Foto: Gambar fail
PUTRAJAYA, 6 Dis (Malaysiaaktif) – Sektor kewangan Islam perlu mempertimbangkan sokongan kepada tindakan perubahan iklim dan agenda kemampanan, mempermudah perdagangan dan pelaburan dan bertindak balas terhadap landskap pengguna di Asia yang semakin berkembang pada masa depan berikutan ia menawarkan prospek penciptaan nilai yang luas kepada sektor itu, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
Penolong Gabenor BNM Adnan Zaylani Mohamad Zahid berkata, pertama, pertambahan minat daripada modal swasta memberi sinar harapan terhadap kesukaran di rantau ini, manakala permintaan yang meningkat terhadap pelaburan mampan yang dipelopori oleh peningkatan komitmen negara, peralihan mandat pelaburan dan eko-kepenggunaan, telah mula menggerakkan usaha dalam kemampanan kewangan swasta.
“Kematangan sektor kewangan Islam membolehkan industri menawarkan pelbagai penyelesaian yang sebahagiannya adalah yang pertama seumpamanya. Ia sesuatu yang menggembirakan apabila menyaksikan pasaran kewangan Islam menyokong usaha ini dengan aktif,” katanya berucap pada Forum Asia IFN 2021.
Sebagai penambahan kepada tawaran inovatifnya adalah kemudahan kewangan Islam berkaitan kemampanan, dan dengan kadar keutamaan yang ditawarkan setelah mencapai sasaran kemampanan yang telah ditetapkan, industri kewangan Islam dapat memudahkan pelanggan untuk peralihan ke arah amalan kemampanan, katanya.
Adnan Zaylani berkata, kedua, sektor kewangan Islam turut perlu memberi tumpuan dalam memudahkan perdagangan dan pelaburan berikutan rantau ini adalah destinasi pelaburan langsung asing (FDI) yang menarik.
“Memandangkan aktiviti ekonomi dunia tertumpu ke timur di tengah-tengah perubahan landskap geopolitik global, kita telah menyaksikan pertumbuhan dan pengembangan pasaran penggunaan, pembentukan rangkaian perdagangan yang meluas, dan kewujudkan persekitaran mesra perniagaan di rantau ini.
“Aliran masuk FDI yang positif di sebalik sentimen pelabur global yang terjejas semasa pandemik adalah bukti kepada pengukuhan ekonomi di rantau ini dan cadangan Asia sebagai hab perdagangan dan pelaburan.
“Trend ini dijangka berterusan apabila perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau berkuat kuasa pada Januari 2022,” katanya.
Beliau berkata, ketiga, sektor itu perlu memberi maklum balas kepada landskap pengguna di Asia yang semakin berkembang, yang akan didorong oleh perubahan demografi dan kemajuan teknologi.
“Trend penggunaan pasaran-khusus baharu menawarkan peluang besar kepada kewangan Islam untuk menginovasi penyelesaian, memanfaatkan kepelbagaian kontrak syariah.
“Peserta kewangan Islam boleh memanfaatkan kontrak syariah alternatif seperti ijarah atau wakalah untuk memenuhi keperluan yang semakin meningkat,” katanya.
Beliau menegaskan masih terdapat peluang yang mencukupi dalam segmen Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) untuk menyokong kewangan Islam, dengan Asia menyumbang 45 peratus daripada jurang pembiayaan PMKS global dan menjadi semakin meluas akibat pandemik.
Sementara itu, Asia menawarkan tapak uji yang menarik bagi penyelesaian inovatif berikutan pertumbuhan pesat teknologi dan populasi meluas golongan yang kurang mendapat kemudahan kewangan.
Teknologi kewangan (fintech) Islam telah mendapat tarikan yang signifikan, menawarkan penyelesaian kewangan alternatif untuk merapatkan jurang penyertaan kewangan.
Transaksi pertumbuhan yang tinggi bagi fintech Islam dijangka mencecah US$128 bilion menjelang 2025 atau 21 peratus setahun, sekali gus memanfaatkan sebahagian besar daripada mereka yang tidak mendapat perkhidmatan perbankan.
— BERNAMA