Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedahMA

Kunjungan Kasih Rumah Kanak-Kanak Pokok Sena

By 24 Disember 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar (Alor Setar)

POKOK SENA, 24 Dis (Malaysiaaktif) – Rumah Kanak-Kanak Pokok Sena Kedah yang berkapasiti 50 kanak-kanak pada satu masa kini dihuni seramai 35 kanak-kanak.

Semalam telah berlangsungnya Majlis Perasmian Rumah Kanak-Kanak Pokok Sena dan Kunjungan Kasih bersama kanak-kanak RKK Pokok Sena oleh Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah dan Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda di Dewan Al Fateh RKK Pokok Sena.

Menurut Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Masyarakat dan Kebajikan, Halimaton Shaadiah Saad, Malaysia sebagai negara pihak kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) mempunyai obligasi untuk memastikan kesejahteraan dan kepentingan terbaik untuk kanak-kanak di negara ini sentiasa diberi keutamaan dalam agenda pembangunan Kerajaan, khususnya berhubung aspek perlindungan, kelangsungan hidup, perkembangan dan penyertaan kanak-kanak.

“Objektif utama penganjuran majlis hari ini adalah untuk kita meraikan kanak-kanak institusi untuk mengenali lebih dekat institusi Diraja Negeri Kedah,” ujarnya ketika Majlis Perasmian Rumah Kanak-kanak Sena di sini, semalam.

Penganjuran program ini jelas sekali menunjukkan tanda kasih Duli Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Kedah dan Raja Puan Muda kepada rakyat jelata.

Persembahan koir oleh anak-anak dari Rumah Kanak-Kanak Pokok Sena.

Persembahan koir oleh anak-anak dari Rumah Kanak-Kanak Pokok Sena.

Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda mengucapkan sekalung penghargaan kepada semua kakitangan institusi Rumah Kanak-Kanak Pokok Sena yang berjaya memberikan jagaan gantian terbaik kepada semua penghuni di sini dan percaya kesungguhan ini datangnya daripada komitmen tinggi pasukan pengurusan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Kedah,” titah Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda semasa berkenan merasmikan majlis ini semalam.

“Kanak-kanak adalah insan yang masih mentah, dan memerlukan penjagaan, perlindungan serta kasih sayang, dan hak mereka sering diabaikan. Kita banyak membaca berita di mana kanak-kanak didera atau dieskplotasi di usia ketika mereka paling memerlukan perlindungan dan penjagaan daripada apa jua bentuk ancaman.

“Ramai anggota masyarakat yang tidak prihatin bahawa kanak-kanak juga mempunyai hak tersendiri sebagaimana orang dewasa mempunyai hak mereka.

“Hak-hak ini termasuklah hak asasi tempat tinggal, hak untuk mendapatkan perlindungan, hak untuk tidak didiskriminasi, hak menyuarakan pendapat, hak mendapat pendidikan, hak bermain, hak kehidupan sosial bermasyarakat dan pelbagai hak-hak lain, yang dapat menjamin kesejahteraan hidup mereka,” titah Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda semasa berkenan merasmikan majlis ini semalam.

Tambah Che Puan Muda Zaheeda, di bawah Akta Kanak-Kanak 2001, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dipertanggungjawabkan untuk menjaga segala hal ehwal kebajikan kanak-kanak, iaitu individu-individu di bawah umur 18 tahun dan oleh itu, penubuhan Rumah Kanak-Kanak seperti RKK Pokok Sena ini adalah di antara usaha pihak kerajaan untuk memelihara hak dan masa depan kanak-kanak yang memerlukan penjagaan.

Disamping itu, JKM di bawah Kementerian tersebut pula memainkan peranan bukan sahaja untuk melindung dan menjaga penghuni Rumah Kanak-Kanak, malah juga menjamin hak mereka untuk mendapat pendidikan.

Sebagai penjaga gantian, JKM harus memastikan persekolahan kanak-kanak ini berjalan lancar.

Program Kelas Bahasa Inggeris telah dimulakan di Rumah Kanak-Kanak Pokok Sena bagi membantu kanak-kanak di sini meningkatkan kemahiran bahasa mereka, katanya semasa merasmikan Rumah Kanak-Kanak Pokok Sena dan Kunjung Kasih.

~RJ~

Tinggalkan komen anda