Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Menteri Besar Rasmi Jambatan Pulau Kekabu, Marang

By 9 Disember 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Norhasirah Deris/Mohd Afnan Hakimi (Marang)

MARANG, 9 Dis (Malaysiaaktif) – Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar telah merasmikan Jambatan Pulau Kekabu, Marang bagi memudahkan pengunjung dan penduduk di sekitar untuk ke Pulau Kekabu, baru-baru ini.

Dalam ucapannya, beliau menyatakan pembinaan jambatan baharu di Pulau Kekabu ini telah diumumkan pada 23 April 2019 ketika merasmikan Perhentian Bas Marang bahawa jambatan baharu di Pulau Kekabu akan dibina.

“Pembinaan jambatan baru ini adalah bagi memudahkan pergerakan pengunjung dan penduduk tempatan ke pulau kekabu yang telahpun menjadi satu tarikan pelancong pada waktu ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menghargai inisiatif Majlis Daerah Marang (MDM) yang terbaru iaitu pembinaan surau dan bilik persalinan bagi kemudahan serta keselesaan kepada pengunjung yang datang beriadah bersama keluarga di Pulau Kekabu.

Ucapan perasmian oleh Menteri Besar Terengganu.

Ucapan perasmian oleh Menteri Besar Terengganu.

“Saya telah dimaklumkan bahawa pihak Majlis Daerah Marang (MDM) telah membina sebuah surau baharu yang serba moden bagi kemudahan pengunjung ke Pulau kekabu ini termasuk juga bilik persalinan yang sedang dibina bagi membolehkan pengunjung menukar pakaian selepas beriadah bersama keluarga di sekitar pantai kawasan Pulau Kekabu,” tambah beliau.

Menurut Ahmad Samsuri, sekitar bulan Januari atau selewat-lewatnya bulan Februari tahun hadapan mengikut keadaan cuaca, upacara pecah tanah bagi pembinaan Jambatan Marang akan bermula.

Menteri Besar menandatangani plak perasmian Jambatan Pulau Kekabu, Marang.

Menteri Besar menandatangani plak perasmian Jambatan Pulau Kekabu, Marang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat, Ariffin Deraman semasa berucap di majlis tersebut menyatakan bahawa Pulau Kekabu bukan sahaja menjadi tumpuan orang ramai untuk beriadah bersama keluarga malah Pulau Kekabu akan menjadi tempat pengunjung melakukan aktiviti sukan air dan lain-lain lagi.

Beliau turut mengucapkan rasa bersyukur dan terima kasih kepada Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu atas peruntukan yang diberi untuk pembinaan baru jambatan Pulau Kekabu dan berharap agar tiada lagi kesesakan lalulintas berlaku.

Di samping itu, beliau turut memohon agar semua pihak berganding bahu dengan sentiasa menjaga kebersihan dan keindahan pantai.

Antara hadirin yang hadir ke Majlis Perasmian Jambatan Pulau Kekabu, Marang.

Antara hadirin yang hadir ke Majlis Perasmian Jambatan Pulau Kekabu, Marang.

“Pantai Pulau Kekabu terletak berhampiran muara Sungai Marang ini bukan sahaja menjadi tumpuan orang ramai untuk berehat bersama kelurga tetapi menjadi tempat pengunjung berjoging, memancing dan melakukan aktiviti sukan air iaitu kenu.

“Alhamdulillah, Kerajaan Negeri Terengganu telah meluluskan pembinaan jambatan ini yang panjangnya 47.3 meter dengan nilai kontrak sebanyak RM1.38 juta melalui peruntukan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu,” katanya.

Menurut Ariffin, jambatan ini telah siap dibina sepenuhnya pada 26 Oktober 2021 dan pembinaanya menunjukkan usaha kerajaan negeri bagi memenuhi keperluan serta keselesaan rakyat.

Majlis turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja, Ahli Dewan Undangan (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, Pengarah Pelancongnan Negeri Terengganu, Fadhli Yusof Zakaria, Pegawai Daerah Marang, Lizan Che Mat, Yang DiPertua Majlis Daerah Marang, Azizul Hadi serta ketua-ketua jabatan Daerah Marang.

Tinggalkan komen anda