Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin/Facebook Universiti Pendidikan Sultan Idris
TANJONG MALIM, 9 DIS (Malaysiaaktif) – Program Keluarga Malaysia@IPT tercetus daripada manifestasi aspirasi Perdana Menteri untuk melihat nilai-nilai Keluarga Malaysia dapat diterap dan dibudayakan khusus dalam kalangan warga Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Menurut Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, hal ini bertepatan dengan masa dan keadaan ketika ini selain sejajar dengan sambutan 100 tahun Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
“Bersempena program ini, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) turut membawa empat Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) 100 Hari KPT yang mana keempat-empat AKM ini merupakan ‘touch point’ yang dikehendaki dan diharapkan oleh rakyat di bawah teras ketiga AKM 100 Hari Jemaah Menteri iaitu meningkatkan kesejahtaraan sosial.
Empat AKM yang dimaksudkan adalah pemberian baucar makanan percuma melalui program FOOD@CAMPUS Keluarga Malaysia, pemberian vaksin kepada warga pendidikan tinggi melalui program VACC2CAMPUS, pembekalan Kit Ujian Pantas (RTK) kepada pelajar IPT melalui program RTK@KAMPUS dan penawaran peluang pekerjaan serta penjanaan pendapatan kepada pelajar IPT melalui program GetHired@KPT,” katanya ketika berucap pada Program Keluarga Malaysia@IPT di Dewan Tuanku Canselor, UPSI di sini, semalam.
Tambah Noraini, insiatif yang dilaksanakan ini adalah manifestasi kepada keprihatinan KPT terhadap kebajikan dan kesejahteraan pelajar dan warga IPT secara keseluruhannya.
“Banyak lagi inisiatif KPT di bawah payung #KPTPrihatin seperti agihan komputer riba, bantuan pelan data, bank makanan dan pelbagai lagi yang mana semua ini akan dilaksanakan secara berterusan oleh KPT demi kebajikan para pelajar,” katanya.
Program ini dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob selain dihadiri Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta Timbalan Menteri Pendidikan 1 Datuk Dr Mah Hang Soon.
~RJ~