Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Pengembara dari 26 Negara Tidak Dibenar Sertai GPL

By 3 Disember 2021Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 3 Dis (Malaysiaaktif) – Kementerian Kesihatan mengeluarkan larangan kepada pengembara dari 26 negara yang dikenal pasti telah melaporkan penularan varian Omicron, daripada menyertai Gelembung Pelancongan Langkawi (GPL).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata negara tersebut adalah United Kingdom, Portugal, Belanda, Australia, Kanada, Korea Selatan, Hong Kong (SAR China), Israel, Itali, Jerman, Denmark, Sweden, Nigeria dan Belgium.

Negara lain ialah Jepun, Brazil, Norway, Republik Czech, Perancis/Reunion Island, Austria, Arab Saudi, Sepanyol, Ghana, Republik Ireland, Emiriah Arab Bersatu dan Amerika Syarikat (California).

Beliau berkata pengembara dari negara berkenaan atau mempunyai sejarah perjalanan ke negara tersebut dalam tempoh 14 hari tidak dibenarkan untuk menyertai GPL.

“Sementara itu, bagi penduduk Langkawi (warganegara dan pemegang pas lawatan panjang) dari negara-negara yang disenaraikan atau mempunyai sejarah perjalanan ke negara-negara tersebut dalam tempoh 14 hari, mereka perlu melalui pintu masuk antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sahaja.

“Selain itu, (mereka perlu) menjalani kuarantin wajib 14 hari di stesen kuarantin yang ditetapkan sebelum dibenarkan meneruskan perjalanan ke Langkawi. Penerbangan terus ke Langkawi tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Dr Noor Hisham berkata pengembara dari negara-negara yang berisiko tinggi tetapi tidak melaporkan kes varian membimbangkan (VOC) Omicron atau mempunyai sejarah perjalanan ke negara berkenaan dalam tempoh 14 hari juga tidak dibenarkan menyertai GPL.

Senarai negara tersebut ialah Benua Eropah (Rusia, Georgia, Poland, Ukraine, Romania, Slovakia, Macedonia Utara, Guernsey dan Croatia), Amerika Syarikat (French Guiana), Pasifik Barat (Filipina), Mediterranean Timur (Libya dan Jordan), Asia Tenggara (Bangladesh) dan Afrika (Angola, Eswatini, Lesotho, Malawi, Mozambique, Namibia, Zambia dan Zimbabwe).

Pada masa sama, beliau berkata KKM juga sentiasa menjalankan penilaian risiko berdasarkan beberapa kriteria yang ditetapkan bagi menentukan tahap risiko sesebuah negara itu sebelum dibenarkan menyertai GPL antaranya insiden COVID-19 dan liputan imunisasi di negara-negara tersebut.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 515 kes baharu varian dilaporkan dari 25 November hingga 2 Disember menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus COVID-19 yang dikategorikan sebagai VOC dan varian yang mempunyai kepentingan (VOI) adalah sebanyak 4,692 kes.

Katanya daripada jumlah itu 4,672 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI dan secara keseluruhan, sehingga kini terdapat sebanyak 4,432 kes VOC varian Delta; 226 kes varian Beta dan 14 kes varian Alpha.

Bagi kes VOI, sebanyak 13 kes varian Theta, empat kes varian Kappa dan tiga kes varian Eta direkodkan, katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda