Skip to main content
Berita SelatanNegeri Sembilan

Penjawat Awam Bantu Ringan Beban Mangsa Banjir

By 24 Disember 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto : Siti Hajar Binti Kamis / Muhammad Luqmanul Hakim Bin Azmi (Seremban)

SEREMBAN, 24 Dis 2021 (Malaysiaaktif)– Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, musibah banjir baru-baru ini ternyata memberi kesan yang besar terhadap penduduk dalam Daerah Seremban apabila harta benda mereka musnah ditenggelami air.

Selain mangsa, banjir besar di luar jangka ini turut memberikan kesan kepada seluruh masyarakat yang prihatin dengan nasib mereka yang terlibat.

Keresahan mangsa banjir yang berhadapan dengan rumah yang diselaputi lumpur tebal terubat apabila dibantu seramai 127 orang petugas dari pelbagai agensi dari Daerah Seremban melalui Program Pasca banjir yang dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Seremban (JPBD).

Salah satu rumah mangsa banjir yang terkesan.

Salah satu rumah mangsa banjir yang terkesan.

Beberapa mangsa banjir yang ditemui melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada agensi awam yang prihatin dengan nasib mereka yang dilanda musibah.

Mangsa banjir di Kampung batu 7, Lenggeng Marlia Binti Jalil,57, berkata beliau sekeluarga amat bersyukur dan apabila musibah yang menimpanya mendapat perhatian JPBD.

“Saya bersyukur sangat dengan pertolongan dan khidmat yang diberikan oleh penjawat awam pada hari ini, di mana sedikit sebanyak ia dapat meringankan beban kami kerana banjir tahun ini berlaku dengan pantas dan banyak barangan yang tidak dapat diselamatkan.

Selain itu, Maimon bt Mohd Som,85, seorang warga emas yang ditemui di sini berkata rumahnya turut dinaiki air pada 18 Disember lepas.

“Alhamdulillah dengan bantuan dari semua yang datang dapat meringankan beban saya. Inilah bukti bahawa agensi awam sangat mengambil perhatian terhadap nasib masyarakat setempat” katanya.

Penduduk di sini juga amat berharap kerajaan dapat bertindak dengan kadar segera bagi mengembalikan semula kemudahan asas di kawasan yang terlibat. Semua jalan yang berlubang, tebing sungai yang runtuh, perlu segera dibaiki bagi memastikan keselamatan peduduk di kawasan berkenaan.

Selain Pejabat Penerangan Daerah Seremban, Bomba, Polis, Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan sukarelawan daripada seluruh Daerah Seremban turut turun padang dalam misi pasca banjir kali ini.

-FF

Tinggalkan komen anda