Skip to main content
Berita UtaraPulau Pinang

Perkahwinan Kembar Jadi Perhatian

By 13 Disember 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto : Halimah Abd Ghani/ Nor Haliza Ridzuan (Seberang Perai Tengah)

BUKIT MERTAJAM, 13 Dis ( Malaysiaaktif )– Perkahwinan pasangan kembar yang berlangsung di Surau Sekolah Menengah Al-Ahmadiah Al-Ijtimiah, Padang Lalang, Bukit Mertajam menjadi tular dan mendapat perhatian ramai kerana perkahwinan tersebut melibatkan pasangan pengantin lelaki yang kembar seiras dan pangantin perempuan juga merupakan kembar seiras.

Pengantin lelaki, Norazeman Pazilah dinikahkan dengan Norlaila Mohd Rizal manakala pasangan kembar mereka, Norazzuan Pazilah pula dinikahkan dengan Norlaili Mohd Rizal.

Mengimbas detik pertemuan mereka ketika ditemuramah Malaysia Aktif, kedua-dua pasangan itu memaklumkan pada permulaannya, pasangan Norazeman berkawan dengan Norlaila tanpa mengetahui kedua-dua mereka mempunyai kembar.

Pasangan mempelai bersama kedua ibu bapa pengantin lelaki di majlis perkahwinan mereka yang berlangsung semalam.

Pasangan mempelai bersama kedua ibu bapa pengantin lelaki di majlis perkahwinan mereka yang berlangsung semalam.

“Setelah beberapa ketika, barulah kami menyedari bahawa kami mempunyai kembar seiras.

“Apabila dipertemukan dengan pasangan kembar masing-masing, ternyata jodoh antara kami kuat apabila Norazzuan juga terpaut hati pada Norlaili sehingga kami berempat selamat melangsungkan pernikahan,”katanya.

Sementara itu, Norezan Me yang merupakan ibu kepada pengantin lelaki mengucapkan kesyukuran kepada Ilahi kerana anak mereka selamat diijabkabulkan.

Pasangan mempelai sedang menyemak dokumen semasa majlis akad nikah yang berlangsung di Surau Sekolah Menengah Al-Ahmadiah Al-Ijtimiah, Padang Lalang.

Pasangan mempelai sedang menyemak dokumen semasa majlis akad nikah yang berlangsung di Surau Sekolah Menengah Al-Ahmadiah Al-Ijtimiah, Padang Lalang.

“Mak cik pun tidak sangka akan dapat menantu kembar juga kerana jodoh, ajal dan rezeki semua ketentuan Allah.

“Apapun, kami bersyukur dan sangat gembira atas aturan jodoh ini”, katanya.

Rata-rata saudara-mara pasangan pengantin menyatakan rasa tidak sabar untuk menunggu kehadiran cahaya mata kedua-dua mempelai dan berharap pasangan pengantin itu juga turut dikurniakan anak kembar.

Majlis perkahwinan kedua pasangan mempelai ini diadakan dalam suasana yang sederhana tetapi meriah dan mematuhi SOP dalam mencegah penularan COVID-19.

Tinggalkan komen anda