Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Program Outreach Kesejahteraan Pekerjaan Rakyat Terengganu

By 21 Disember 2021Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Taufiq Firdaus Md.Nor/Muhammad Hafiz Haziah (Besut)

BESUT,  21 Dis (Malaysiaaktif) – Kerajaan Negeri Terengganu melalui Terengganu Human Resource Development Centre (T-HRDC) sekali lagi membuka peluang pekerjaan kepada warga Besut dan Setiu dengan anjuran Program Outreach Kesejahteraan Pekerjaan Rakyat Terengganu edisi ke-empat di Dewan Merdeka, Kota Putera Square selama dua hari bermula semalam.

Pegawai Daerah Besut, Ahmad Farhan Abd. Wahab ketika berucap meluahkan rasa bertuah kerana daerah ini sekali lagi telah dipilih sebagai tapak program tersebut.

“Sesunguhnya kami amat berterima kasih dan berbesar hati di atas kesudian Pusat Pembangunan Sumber Manusia Negeri Terengganu (T-HRDC) bersama agensi lain yang mengadakan program kerjaya ini di sini,” katanya.

Pencari kerja mendaftarkan diri di booth PERKESO.

Pencari kerja mendaftarkan diri di booth PERKESO.

Tambah beliau, ini adalah program yang ke-empat pada tahun ini selepas program pertama yang turut diadakan di Besut sebagai Zon Utara, Kuala Terengganu bagi Zon Tengah dan Dungun bagi Zon Selatan.

Katanya, menurut Pengurus Besar T-HRDC, pada kali ini enam buah syarikat majikan akan membuka peluang pekerjaan sebanyak lebih 2,500 kekosongan yang merupakan peluang keemasan yang sepatutnya diambil oleh penduduk di sini.

“Semoga program ini akan menjadi satu solusi pada masalah pengangguran akibat pandemik COVID-19 dan diharapkan semoga lebih banyak peluang pekerjaan akan dibawa melalui program seumpama ini pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, ketika berucap merasmikan program, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman, berkata pada peringkat pertama program ini diadakan pada bulan November yang lalu, hanya sebuah syarikat sahaja yang terlibat iaitu Syarikat Panasonic.

Penyampaian cek kepada peserta yang telah berjaya mendapat pekerjaan melalui program ini.

Penyampaian cek kepada peserta yang telah berjaya mendapat pekerjaan melalui program ini.

“Hebahan berkaitan program ini di seluruh Negeri Terengganu telah menarik minat beberapa buah syarikat yang lain untuk turut serta dalam program ini.

“Syarikat yang terlibat pada program kali ini adalah terdiri dari Syarikat Panasonic, GP Glass, DHL, Red Team (M) Sdn.Bhd, PHN dan H2R,” ujar Mohd Nurkhuzaini.

Tambah beliau, peserta yang hadir ke program ini untuk mencari kerja dan membuat pendaftaran melalui PERKESO serta hadiri temuduga di tiga buah syarikat akan mendapat Elaun Mencari Pekerjaan sebanyak RM300.

Selain itu, bagi mereka yang layak mendapat pekerjaan juga akan mendapat Elaun Persediaan Bekerja berjumlah RM400.

Antara hadirin yang hadir ke program.

Antara hadirin yang hadir ke program.

Seterusnya, mereka juga akan turut menerima Elaun Mobiliti berjumlah RM1,000 sekiranya jarak tempat bekerja lebih dari 100 kilometer manakala RM500 kurang dari 100 kilometer.

Tambah beliau, usahasama Kerajaan Negeri dan T-HRDC akan mewujudkan Sistem Maklumat Pekerjaan Akar Umbi (S.A.M.P.A.I) di seluruh Pejabat Daerah dalam Negeri Terengganu.

S.A.M.P.A.I adalah sebuah sistem yang menempatkan papan tanda digital di seluruh Pejabat Daerah dalam Negeri Terengganu yang dikawal secara berpusat yang memaparkan peluang-peluang pekerjaan di dalam negeri mahupun di luar.

Sistem ini juga turut menyampaikan maklumat berkenaan insentif-insentif bantuan yang ditawarkan oleh kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri yang bertujuan meringankan beban rakyat.

Turut hadir, Pengarah PERKESO Negeri Terengganu, Hajah Farihah Che Husin, Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Human Resource Development Centre (T-HRDC), Aminuddin Omar, wakil Pegawai Daerah Setiu, Muhammad Azmidi Abdullah serta ketua-ketua jabatan, wakil jabatan dan Pengerusi serta Ahli Jawatankuasa JPKK seluruh Besut.

Tinggalkan komen anda