Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 21 Dis (Malaysiaaktif) – Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed menafikan kejadian tanah runtuh yang didakwa berlaku di Rawang seperti ditularkan di media sosial.
Beliau berkata, pihaknya mengesan satu video tular berdurasi 22 saat yang memaparkan kejadian tanah runtuh di sebatang jalan di Rawang.
“Sehingga kini, tiada sebarang laporan berkaitan kejadian dan menafikan kejadian tanah runtuh seperti yang didakwa,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau menegaskan, pihak polis ingin menasihatkan orang awam supaya menjadi pengguna media sosial yang bijak dan bertanggungjawab.
“Jangan sebarkan berita tidak benar dengan niat untuk menakut-nakutkan serta membangkitkan kegusaran dalam kalangan masyarakat,” tambahnya lagi.
Menurutnya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menyalahgunakan media sosial untuk menyebarkan berita palsu.
-ZS-