Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Status OKU Bukan Halangan Berjaya Bidang Akademik dan Sukan

By 7 Disember 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/PSA

SHAH ALAM, 7 Dis (Malaysiaaktif) – Kehilangan kaki kanan akibat kanser tulang ketika berusia 14 tahun tidak menghalang seorang pemuda, Mohamad Alif Aiman Juyana@Azlan, 23, cemerlang dalam akademik dan sukan seperti insan lain.

Anak Sulung daripada empat beradik itu berkata, beliau sentiasa mencabar diri untuk mencuba semua perkara yang dilakukan oleh orang normal yang lain.

“Jangan memandang rendah terhadap diri sendiri, kita juga boleh buat apa yang orang normal buat.

“Kuatkan semangat dan buktikan apa yang mampu kita buat dengan kekurangan yang ada pada diri kita,” katanya ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) ke-22 di, di sini semalam.

Katanya, masyarakat perlu mengubah stigma serta membantu golongan orang kurang upaya (OKU) dengan memberi peluang kepada golongan terbabit untuk membuktikan kemampuan diri masing-masing.

Mohamad Alif Aiman pada Majlis Konvokesyen PSA ke-22 di Shah Alam semalam.

Mohamad Alif Aiman pada Majlis Konvokesyen PSA ke-22 di Shah Alam semalam.

Beliau yang aktif dalam program kebajikan seperti memberi motivasi kepada pesakit-pesakit kanser sempat melahirkan penghargaan buat PSA yang telah banyak membantunya sepanjang pengajian di kampus.

“Alhamdulillah, semua warga PSA serta rakan-rakan banyak membantu dan memudahkan segala proses sepanjang melanjutkan pengajian di PSA.

“Semua ini adalah kenangan manis sebab sepanjang saya sakit saya tidak dapat peluang pergi ke sekolah sepenuh masa,” ujar graduan Diploma Perniagaan Antarabangsa itu.

Menurutnya, walaupun menderita selama lapan tahun dan banyak waktu dihabiskan untuk rawatan di hospital, dia tidak pernah patah semangat sebaliknya sentiasa mendorong diri untuk berjaya.

Seramai 2,818 graduan PSA menerima ijazah, diploma dan sijil sempena Majlis Konvokesyen ke-22 bermula 6 hingga 10 Disember.

Seramai 2,818 graduan PSA menerima ijazah, diploma dan sijil sempena Majlis Konvokesyen ke-22 bermula 6 hingga 10 Disember.

Beliau yang kini sedang melanjutkan pengajian di UiTM Puncak Alam dalam program Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) Pengangkutan.

Selain itu, Aiman turut aktif dalam sukan tenis paralimpik malah mewakili negara ke peringkat antarabangsa.

Majlis Konvokesyen ke-22 diadakan secara fizikal bertempat di Dewan Al-Jazari PSA bermula 6 hingga 10 Disember 2021 dengan melibatkan seramai 2,818 orang graduan termasuk 27 daripadanya graduan Sijil Kemahiran Penyenggaran Mekanikal yang merupakan pelajar OKU pendengaran.

Dalam pada itu, PSA turut mencatat 97.8 peratus kadar kebolehpasaran graduan bagi tahun 2021. Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan berbanding 95.9 peratus pada tahun 2020 dan 2019.

Pada 28 Oktober lalu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dilaporkan berkata, graduan lepasan politeknik sentiasa menjadi buruan majikan meskipun ketika negara dilanda pandemik COVID-19.

-RI

Tinggalkan komen anda