
Laporan/foto: Aneta Ahmad/Zulkifli Othman (Dungun)
DUNGUN,7 Jan (Malaysiaaktif)– Seramai 113 Ketua Isi Rumah (KIR) dari tiga kampung terjejas banjir fasa ketiga baru-baru ini menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) dalam Program Penyerahan Bantuan Wang Ihsan Monsun Timur Laut (MTL) Daerah Dungun di sini, semalam.
Pegawai Daerah Dungun selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Daerah Dungun, Anuar Awang menyempurnakan pemberian bantuan yang diadakan di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja tersebut.
Menurut Anuar, bantuan tersebut disalurkan apabila mangsa terjejas banjir terlibat sekurang-kurangnya dalam tempoh tujuh hari banjir melanda.
“Sebanyak 113 Ketua Isi Rumah (KIR) melibatkan 45 dari Kampung Pasir Raja, 63 dari Kampung Shukor dan 5 dari Kampung Minda yang mana setiap mereka menerima wang tunai sebanyak seribu ringgit,” katanya.

Penduduk yang menerima bantuan bersyukur kerana bantuan tersebut dapat meringankan perbelanjaan mereka.
Tambah Anuar, fasa ketiga banjir yang melanda di kawasan tersebut tleah bermula pada 30 Disember sehingga 3 Januari lalu.
Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman, berkata Bantuan Wang Ihsan ini adalah rezeki yang perlu disyukuri dan pesan beliau kepada yang hadir agar sentiasa melaksanakan suruhan agama meskipun diuji dengan bencana banjir.

Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berharap rezeki disyukuri oleh penduduk yang menerima BWI.
“Jika kita bersyukur, nikmat akan ditambah, kita semua perlu dekatkan diri dengan Allah SWT, solat lima waktu secara berjemaah,” katanya semasa menyampaikan ucapan dalam program tersebut.
Bagi menerim bantuan, Norhazilah Hamzah, 49, mengucapkan terima kasih kepada kerajaan pusat kerana pemberian BWI cepat diserahkan kepada mangsa.
“Penduduk kampung turut terkesan meskipun banjir pada kami di kampung ini sudah seperti acara tahunan, persediaan untuk berkemas barang-barang di tempat yang sesuai telah dilakukan awal lagi.
“Alhamdulillah, semoga tiada lagi banjir untuk masa ini, memandangkan sekolah akan dibuka minggu depan,” katanya lagi.
Sulaiman Abdullah, 55, menjelaskan penduduk kampung berterima kasih kepada semua pihak yang terbabit dalam kerja pasca banjir seperti gotong-royong membersihkan sekolah, rumah dan sumbangan keperluan harian yang diterima oleh orang kampung.
“Walaupun kami berada jauh di pedalaman, namun pertolongan yang diberikan amat baik dan kami sangat bersyukur,” katanya.
Turut hadir dalam program tersebut adalah ketua-ketua jabatan di peringkat daerah.