Laporan/foto: Mohamad Asri Awang Ya (Ampang)
AMPANG, 17 Jan (Malaysiaaktif) – Diskaun sehingga 30 peratus bagi 50 jenis barangan asas diberikan dalam Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) dapat membantu mengurangkan kos perbelanjaan isi rumah Keluarga Malaysia.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin, memaklumkan PJKM merupakan satu inisiatif kerajaan bagi membantu rakyat khususnya selepas bencana banjir dan pandemik COVID-19.
“PJKM dapat meringankan beban rakyat dalam mendapatkan barangan keperluan asas kerana harga yang ditawarkan adalah lebih murah daripada harga pasaran di mana ramai rakyat yang terkesan dengan bencana banjir dan pandemik COVID-19, oleh itu program ini akan dapat membantu orang ramai dalam berbelanja terutamanya menjelang Perayaan Thaipusam dan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.
“Saya berharap agar penduduk sekitar mengambil kesempatan ini untuk mendapatkan pelbagai barangan asas dengan harga yang paling minima di samping dapat meringankan beban kewangan sendiri,” katanya dalam program turun padang meninjau harga barangan PJKM di sebuah pasar raya, di sini semalam.
Zuraida amat berterima kasih kepada pihak pengurusan pasar raya tersebut yang sanggup bekerjasama dalam menjayakan PJKM dan pekedai-pekedai yang sanggup menurunkan harga agar semua orang dapat manfaatnya.
“Jika sebelum ini pembeli datang membawa RM100 boleh dapat hanya 10 barang sahaja tetapi jika datang ke sini mungkin dalam 15 barangan boleh dibawa pulang.
“PJKM yang berlangsung selama dua hari iaitu pada 15 dan 16 Januari ini memberikan diskaun harga sehingga 30 peratus kepada lebih 50 jenis barangan asas,” katanya.
Turut hadir, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Selangor Zikril Azan Abdullah dan Pengurus Operasi AEON Big Malaysia Sheikh Farouk Sheikh Mohamed.
-RI