Foto: Gambar fail
PUTRAJAYA, 7 Jan (Malaysiaaktif) – Vaksin COVID-19 Comirnaty keluaran Pfizer (Pfizer) diberikan kelulusan pendaftaran bersyarat untuk imunisasi kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-368 yang bersidang semalam.
“’Comirnaty 10mcg Concentrate for Dispersion for Injection’ diluluskan untuk imunisasi COVID-19 kepada kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun.
Sediaan ini mempunyai kekuatan yang lebih rendah berbanding vaksin Comirnaty yang diberikan kepada individu berusia 12 tahun dan ke atas,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu mesyuarat berkenaan juga meluluskan Comirnaty (Tris/Sucrose) 30mcg dengan formulasi baharu untuk imunisasi COVID-19 kepada individu berumur 12 tahun dan ke atas.
Formulasi baharu ini katanya tidak memerlukan pencairan sebelum disuntik dan mempunyai tempoh jangka hayat lebih panjang, iaitu 10 minggu berbanding formulasi sedia ada iaitu satu bulan apabila disimpan pada suhu 2 darjah Celcius hingga 8 darjah Celcius dinyah beku.
Dalam pada itu PBKD juga meluluskan penggunaan vaksin Convidecia® Recombinant Novel Coronavirus Vaccine (Vektor Adenovirus Jenis 5) (Cansino) sebagai dos penggalak kepada individu berumur 18 tahun ke atas.
Vaksin penggalak ini katanya boleh diambil dengan sela masa tiga hingga enam bulan selepas menerima dos pertama vaksin yang sama.
Bagaimanapun katanya kelulusan pendaftaran bersyarat itu masih memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau dan dinilai secara berterusan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.
“Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko bagi vaksin-vaksin tersebut kekal positif,” katanya.
— BERNAMA