Laporan/foto: Siti Rosliza Ibrahim/Badarudin Shuib (Klang)
KLANG, 6 Jan (Malaysiaaktif) – Peruntukan berjumlah lebih RM2.3 juta telah disalurkan kepada 2,304 mangsa banjir di daerah tersebut sejak 29 Disember lalu.
Pegawai Daerah Klang Mohd Faizal Abd Raji, memaklumkan bagi memastikan penyaluran berjalan lancar pihaknya turut bekerjasama dengan Pejabat Pembangunan Persekutuan (ICU) Negeri Selangor mengenai maklumat mangsa banjir dan bergerak bersama menyalurkan Bantuan Wang Ihsan (BWI).
“Kita akan terus mempertingkatkan kapasiti penerima bantuan harian dengan melibatkan semua kawasan yang terjejas di daerah Klang secara berfasa.
“Hari ini seramai 800 orang ketua isi rumah di kawasan Kampung Lombong dan kawasan sekitarnya menerima bantuan berjumlah RM1,000 Bantuan Selangor Bangkit (BSB) dan RM1,000 BWI,” katanya kepada media semasa ditemui di Dewan Orang Ramai Kampung Lombong, di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang memaklumkan 73.5 peratus daripada 68 lokaliti yang dikenalpasti berjaya dibersihkan pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).
“Baki 15 kawasan lokaliti yang terjejas berada pada tahap 90 peratus untuk disiapkan dan tiga kawasan lagi berada pada tahap 20 peratus manakala pemantauan dan penyelarasan dilakukan secara harian bagi memastikan proses pemulihan pasca banjir di daerah Klang dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.
“Pemeriksaan dan penilaian terhadap risiko penyakit pasca banjir menerusi Pejabat Kesihatan Daerah Klang turut dilakukan bagi mengenalpasti risiko penyakit seperti denggi, leptospirosis, meliodosis, penyakit bawaan makanan dan air serta COVID-19,” katanya.
Sementara itu, seorang penerima bantuan, Mohd Shahril Tukiman, 39, melahirkan perasaan gembira menerima bantuan hasil inisiatif kerajaan negeri dan pusat.
“Saya merancang untuk memperbaiki semula ruang rumah yang rosak akibat banjir disamping perbelanjaan anak-anak sekolah,” katanya dalam nada terharu.
Seorang lagi penerima, Mawar Syazwana Mohd Nasir, 33, mengucapkan berterima kasih kepada kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan yang menyalurkan bantuan membantu mangsa banjir.
“Terima kasih kepada kerajaan negeri dan pusat atas bantuan yang diberikan, wang ini akan digunakan untuk membeli perabot rumah yang rosak akibat ditenggelami banjir,” katanya.
-RI